Bayi berusia 10 hari meninggal selepas disuap bubur pisang oleh neneknya
Kecuaian seorang warga emas telah menyebabkan bayi yang baru lahir
meninggal dunia selepas disuap dengan bubur pisang.
Menurut Lia Imelda Siregar, kejadian itu berlaku pada November tahun lalu
di Kuala Simpang, Indonesia.
"Ini semua pengajaran buat kita semua. Dulu mungkin bayi baru lahir boleh
diberi makan bubur pisang kerana pisangnya masih bersih dan bebas dari
racun serangga," tulisnya di Facebook.
Difahamkan, bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan itu baru saja berusia 9
hari, tetapi telah disuap dengan bubur pisang oleh neneknya meskipun telah
dilarang berbuat demikian.
Akibatnya, berlaku pendarahan dari hidung, mulut dan duburnya menyebabkan
keluarga itu panik, lalu menghantar mangsa ke hospital.
"Si dedek (bayi) menangis saja. Jadi, saya buatkan bubur pisang untuk dia.
Dulu anak-anak saya semua diberi makan bubur ini dan tiada apa-apa masalah
yang berlaku.
"Tetapi bila diberi pada cucu, darah keluar dari hidung, mulut dan
duburnya. Saya menyesal. Bidan pun dah melarang sebelum ini tetapi saya
degil.
"Sewaktu dilahirkan, beratnya 1.8 kg. Selepas 10 hari, beratnya turun ke
1.3 kg," katanya sambil menangis dan mengatakan bahawa itu adalah cucu
pertamanya.
Sejam selepas dibawa ke hospital, bayi berkenaan disahkan meninggal
dunia.
"Jangan beri bayi makan makanan pejal. Kasihan anak kecil ini menderita
darah keluar dari hidung, mulut dan duburnya sehingga hilang nyawa akibat
kecuaian neneknya sendiri.
"Usus bayi tidak kuat seperti usus orang dewasa. Tolong jangan beri
makanan pejal kepada bayi," tulisnya.