Berang kena bebel, suami hentam muka isteri dengan dumbbell sampai tak dapat makan & minum
Seorang wanita terpaksa menanggung kecederaan kekal selepas wajahnya
dipukul suami dengan menggunakan dumbbell kerana berang dibebel oleh
mangsa.
Kehidupan Aimee Dixon musnah selepas dia disahkan mengalami kecederaan
teruk di bahagian muka.
Mangsa yang berusia 37 tahun terpaksa pasrah dengan nasib yang menimpanya
di mana setiap hari dia mengalami kesukaran untuk makan dan
minum.
Sehingga kini, mangsa masih menerima rawatan susulan di hospital, lapan
bulan selepas kejadian yang menakutkan itu.
Si suami, Andrew Dixon, 35, tergamak menyerang isterinya sendiri kerana
menyangka mangsa sedang membebel menyuruh dia makan ubat.
Andrew didakwa di mahkamah atas pertuduhan cubaan membunuh isterinya pada
18 November lalu. Namun dia disahkan mengalami masalah gangguan mental dan
tidak dapat hadir ke mahkamah serta memberi arahan kepada peguamnya.
Pihak pendakwa raya mendakwa Andrew berkemungkinan menggunakan dumbbell
atau batang besi untuk menyerang mangsa sekurang-kurangnya tiga kali di
bahagian muka dan kepala ketika kejadian itu.
Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala termasuk retak dan
lebam serta pendarahan di bahagian otak.
Kejadian itu juga menyebabkan mangsa masalah fizikal dan emosi termasuk
menjejaskan pertuturannya.
Pendakwa Raya Geraldine Kelly berkata, "Aimee Dixon masih berada di
hospital, dia mengalami kecederaan otak dan tidak akan mampu hidup secara
normal.
"Meskipun dia beransur pulih, tetapi dia mengalami kesukaran untuk
bercakap, minum dan menelan serta beberapa lagi perkara lain yang
memerlukan bantuan untuk bergerak," katanya.
Sementara itu, Andrew didapati menghidap paranoid schizophrenia dan
dipindahkan ke Penjara Doncaster pada 20 Mei lalu.
Doktor berkata, Andrew memerlukan rawatan dan pemulihan. Selain itu dia
terlalu berisiko untuk dibiarkan berada di tempat awam.
Sumber: Mirror