Budak 4 tahun lemas selepas ditinggalkan 9 jam dalam kereta, bapa salahkah pihak tadika
Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dilaporkan lemas di
bahagian tempat duduk belakang selepas ditinggalkan oleh bapanya dalam
kereta secara tidak sengaja selama tempoh sembilan jam, lapor
Mirror.
Difahamkan sebelum kejadian itu, bapa mangsa, Hu, menjawab panggilan
telefon ketika dia sepatutnya menghantar anaknya ke tadika di Yiyang,
China pada jam 8 pagi 8 April.
Mangsa yang dikenali sebagai Qi Qi pada ketika itu tertidur di
belakang.
Menurut Hu, dia menghantar anaknya ke tadika dan berhenti di pintu pagar
premis tersebut sebelum menjawab panggilan telefon berkaitan dengan
kerjanya.
Hu berkata, dia terlupa untuk memeriksa sama ada anak perempuannya itu
telah keluar dari kereta dan terus beredar dari tadika itu serta
meletakkan keretanya di tempat letak kereta berhampiran tempat
kerjanya.
"Saya jawab panggilan telefon dan terlupa nak periksa anak dah keluar
atau belum. Saya tak perasan sehinggalah isteri menghubungi saya pada jam
5:00 petang bertanya di mana anak kami berada," katanya.
Isteri Hu telah pergi ke tadika untuk menjemput Qi Qi pulang tetapi
dimaklumkan oleh kakitangan tadika bahawa Qi Qi langsung tidak hadir pada
hari itu.
"Setelah puas berfikir, akhirnya saya menemui dia berada di tempat duduk
belakang kereta," kata Hu.
Qi Qi disahkan lemas dan perkara itu disahkan oleh pihak Hospital
Yiyang.
"Mereka tidak dapat selamatkan dia," kata Hu yang bekerja sebagai penjual
kereta.
"Biasanya pihak sekolah akan menghubungi atau menghantar SMS bertanya
jika anak tidak dihantar ke tadika. Tetapi kali ini kenapa mereka tidak
menghubungi saya?" soalnya.
Ditanya sama ada wajarkah pihak tadika dipersalahkan dalam hal itu, Hu
berkata, "Pada pendapat saya, mereka wajar dipersalahkan. Mereka
sepatutnya menghubungi saya dan saya pun akan sedar awal,"
katanya.
Log panggilan telefon bimbit Hu menunjukkan dia menerima panggilan pada
jam 8:46 pagi, namun perbualan itu hanya selama 12 saat
sahaja.
Related:
Hu juga percaya tumpuannya pada pagi kejadian itu terganggu disebabkan
mesej dari aplikasi seperti WeChat.
"Ada tiga guru di tadika yang hanya menjaga 10 orang murid. Bagaimana
mereka boleh tak perasan anak murid kurang seorang?" soalnya
lagi.
Biro Pendidikan Heshan berkata, pihak sekolah terbabit telah membayar
pampasan kepada keluarga mangsa sebanyak RM19,680.76.
Pihak berkuasa masih menjalan siasatan berhubung kejadian
itu.
Sumber: Mirror