'Cikgu, itu ayah saya' - Sayu, pelajar menangis terjumpa bapanya dalam penjara ketika lawatan sambil belajar
Program lawatan sambil belajar di sebuah penjara di Thailand bertukar
menjadi sayu apabila salah seorang pelajar lelaki mengenali banduan di
situ iaitu bapanya sendiri, menyebabkan lelaki itu menangis kerana
'memalukan' anaknya sendiri, lapor Daily Mail.
Detik yang sangat beremosi itu dikongsi di Facebook 3 September lalu
melaporkan, kedua anak beranak itu menangis sambil berlari mendapatkan
masing-masing.
Arom Khunmoung, yang mengetuai program pendidikan dan rekreasi untuk
sekolah tersebut anjuran organisasinya berkata, dia ternampak salah
seorang pelajar lelaki terpaku melihat seorang banduan ketika lawatan
tersebut.
Dia kemudian menyedari pelajar itu menangis dan apa yang mengejutnya Arom
ialah, banduan itu juga memandang pelajar itu serta turut
menangis.
"Jadi saya pergi bertanya pada pelajar itu apa yang berlaku. Kemudian
pelajar itu kata:
"Cikgu, itu ayah saya. Saya sangat terkejut."
Arom berkata, pelajar itu kemudian meminta kebenaran untuk bercakap
dengan bapanya. Arom kemudian meminta kebenaran warden penjara jika
pelajarnya dibenarkan untuk berjumpa dengan bapanya itu.
Beberapa orang di sekeliling yang menyaksikan kejadian itu juga berasa
sedih dan menangis melihat dua beranak itu saling berpelukan.
"Bapanya berulang kali mencium anaknya sambil berkata, "Maafkan ayah,
ayah rindukan kamu. Bila ayah keluar dari tempat ini, ayah nak jadi orang
yang baik. Anak jadi orang yang baik-baik ya," kata banduan
berkenaan.
"Kamu malu melihat ayah? Adakah kamu malu dengan rakan-rakan kamu melihat
ayah di dalam penjara?" soal banduan itu lagi.
"Tak ayah, saya tak malu langsung," jawab anaknya.
Bagi menunjuk rasa hormat mengikut adat tradisional Thailand, remaja itu
kemudian melutut di lantai dan sujud di kaki bapanya.
Arom berkata, pelajar itu terasa sangat bersyukur dapat bertemu dengan
bapanya yang dipenjara atas kesalahan jenayah yang tidak dapat didedahkan
kepada umum.
Katanya lagi, lawatan sambil belajar ke penjara itu dapat mengajar orang
betapa untungnya dapat hidup bebas di luar penjara.