'Dia nak bayar guna apa? Taik ayam?!' - Pasangan ini saman ayam kerana rimas dengan kokokannya setiap pagi
Sepasang suami isteri memfailkan saman terhadap seekor ayam jantan
kerana rimas dengan bunyi kokokan haiwan itu setiap pagi.
Difahamkan, Jean-Louis Biron dan Joella Andrieux, membina sebuah pusat
hiburan di Saint-Pierre-d'Oleron, Paris. Setelah 15 tahun kemudian,
mereka menutup perniagaan itu dan menjadikannya sebagai rumah
persendirian.
Salah satu alasan pasangan itu memilih Saint-Pierre adalah kerana
ketenangannya. Tetapi pada tahun 2017, bermulanya 'perang' di antara
mereka dengan pemilik ayam itu, Corrine Fesseau yang sudah menetap di
kampung itu sejak 35 tahun lalu.
Ayam jantan bernama Maurice itu sememangnya dikenali di perkampungan
itu, malah kokokannya pada setiap pagi tidak ubah seperti jam loceng
untuk mengejutkan penduduk di sekitar.
Tetapi bagi pasangan itu, kokokan Maurice merimaskan mereka yang
membawa kepada punca pertengkaran dua pihak terbabit sehingga melibatkan
perundangan.
Fesseau menegaskan, Maurice hanya menjalankan tugasnya setiap
hari.
"Ini amat tidak masuk akal jika mereka meminta agar ayam jantan di
kampung ini tidak berkokok pada waktu pagi," katanya.
Tindakan pasangan itu menimbulkan kemarahan pemilik haiwan yang lain di
kampung itu lalu nekad berkumpul di luar mahkamah untuk memberi sokongan
kepada Fesseau dan Maurice.
Bagaimanapun, pasangan itu serta Maurice dilaporkan tidak hadir ke
mahkamah pada hari berkenaan.
Kes masih berlangsung dan keputusan akhir kes akan dibuat pada
September depan.
Sumber: Astro Awani