Isteri nekad gantung diri selepas dimarahi suami kerana kerap bermain Facebook
Arniati, 23, ditemui mati tergantung di bilik tidurnya kediamannya di
Sungai Paret, Penajam Paser Utara, Kalimantan Timur, Indonesia pada 7
Februari lalu.
Menurut jurucakap polis, Iptu Iswanto berkata, sebelum kejadian itu,
Arniati bertengkar dengan suaminya, Sujaedi selepas lelaki itu memarahi
dan melarang Arniati dari kerap melayari Facebook.
Disebabkan pertengkaran itu, pasangan terbabit tidak bercakap selama
beberapa hari sebelum Arniati ditemui mati tergantung di
biliknya.
Arniati sempat memuat naik status di aplikasi WhatsApp yang memaklumkan
dia mahu membunuh diri dan meminta maaf kepada keluarganya.
Sujaedi sempat membaca status WhatsApp isterinya tetapi tidak terfikir
yang isterinya sanggup membunuh diri.
"Saya mengetuk pintu bilik dan Arniati membukanya. Saya kata mahu
mengambil barang dan apabila keluar, dia kembali mengunci
pintu.
"Saya memberitahunya agar jangan mengunci pintu kerana saya akan pulang
tidak lama lagi," katanya.
Sujaedi kemudian pergi ke tempat kerjanya dan setelah pulang ke rumah
pada jam 3.30 petang, dia terus mengetuk pintu bilik, tetapi tidak dibuka
lalu mengambil keputusan untuk mengintai dari tingkap. Usahanya gagal
kerana tingkap ditutupi langsir.
Sujaedi terus memecahkan pintu dan terkejut apabila mendapati isterinya
tergantung tidak bernyawa.
Mayat Arniati diturunkan anggota penyelamat dan dibawa ke hospital untuk
dibedah siasat sebelum dikebumikan di kampung halamannya.
Ibu Arniati, Uni, juga datang ke kediaman pasangan itu menangis histeria
kerana tidak menyangka anaknya sanggup berbuat demikian selepas ditegur
suaminya.
Siasatan awal mendapati, Arniati berpijak pada tong cat dan menggantung
lehernya pada tali.
Sumber: Tribun News, Harian Metro