Isteri suruh suami 'sado' kemas rumah disumbat dalam lokap 17 jam
Seorang wanita disumbat dalam lokap selepas meminta suaminya membantu
melakukan kerja-kerja rumah.
Valerie Sanders, 58, dari Catterick, North Yorkshire, berkata, dia hanya
meminta suaminya, Michael, 58, meninggalkan beberapa sesi gym, untuk
mengemas kediaman mereka.
Difahamkan, pasangan itu berkahwin pada 2014 selepas berkenalan dari
media sosial.
Valerie juga dikatakan banyak meninggalkan nota di rumahnya yang meminta
Michael melakukan kerja-kerja mengemas, berbanding hanya menjaga keretanya
sendiri.
Namun, Valerie didatangi dua van polis dan empat pegawai polis untuk
menahan dan menyumbatnya dalam lokap selama 17 jam atas tuduhan cuba
mengawal suaminya, pada April 2018.
Valerie ditahan kerana disyaki memaksa atau mengawal tingkah laku
(pasangan atau ahli keluarga) di bawah undang-undang yang diperkenalkan
pada 2015 yang meliputi hubungan intim atau keluarga yang menyebab
seseorang itu takut/bimbang keganasan digunakan terhadapnya
sekurang-kurangnya dua kali; atau tekanan serius sehingga mendatangkan
kesan buruk terhadap rutin seharian.
Tetapi kes itu digugurkan pada Khamis lalu oleh hakim apabila Valerie
mengaku tidak bersalah.
Sementara itu, Michael berkata, "Saya tidak pasti sama ada dia patut
didakwa di mahkamah atau sebaliknya. Itu bukan keputusan saya tetapi dia
cuba mengawal saya. Dia cuba bergantung pada saya.
"Dia selalu tinggalkan vakum di luar meminta saya mengemas rumah setiap
hari disebabkan kami membela anjing," Katanya.
Sejak ditahan, pasangan itu telah berpisah dan Valerie berkata sudah
tiada rasa cinta terhadap Michael.
"Saya bukan nak mengawal dia, jika tidak setiap hari pasangan berkahwin
akan hadir ke mahkamah," katanya.
Tambahnya, Michael menjadi obses dengan aktiviti membina badan selepas
mendapat kerja sebagai pengurus gym.
Pada awalnya Valerie menyokong penglibatan suaminya itu tetapi
lama-kelamaan mereka jarang keluar bersama dan Michael banyak menghabiskan
masa di gym sehingga menjejaskan perhubungan mereka.
Sumber: Metro