Jururawat mabuk dan cuai, kepala bayi putus ketika cuba menyambut kelahirannya
Seorang jururawat lelaki di sebuah pusat kesihatan kerajaan di Rajasthan,
India, menarik badan bayi dengan terlalu kuat ketika cuba menyambut
kelahirannya, terputus kepada dua bahagian.
Dalam kejadian 6 Januari lalu, jururawat terbabit dipercayai berada di
bawah pengaruh alkohol, menyebabkan kepala bayi malang itu terputus dan
tertinggal di dalam rahim ibunya.
Jururawat itu kemudian bersama rakannya secara sembunyi meletak mayat
bayi itu di dalam bilik mayat tanpa memaklumkan kepada pegawai atasannya
dan dia mengarahkan keluarga wanita itu membawanya ke hospital
lain.
Wanita itu kemudian dipindahkan ke Hospital Jawahar dan Pakar Sakit Puan,
Doktor Ravindra Sankhla yang menerima kes itu pula dimaklumkan bayi itu
telah selamat dilahirkan, namun urinya masih tertinggal di dalam
rahim.
Doktor Ravindra kemudian mendapati ada sesuatu yang tidak kena dan
persoalannya terjawab apabila menemui kepala bayi itu sebelum memaklumkan
kepada si ibu, Diksha Kanwar, dan ahli keluarganya. Diksha kemudian
dihantar ke Hospital Jodhpur untuk rawatan lanjut.
Pegawai Perubatan Doktor Nikhil Sharma yang bertugas pada waktu itu
berkata, dia tiada di lokasi semasa kejadian itu berlaku dan jururawat
terbabit melakukan proses menyambut kelahiran bayi itu tanpa memaklumkan
kepadanya.
Dua jururawat lelaki berkenaan, Amrit Lal dan Junjhar Singh kemudian
digantung tugas dan Doktor Nikhil pula akan dipindahkan ke tempat
lain.
Kes disiasat di bawah Seksyen 304 A menyebab kematian akibat kecuaian dan
Seksyen 336 membahayakan nyawa di bawah Kanun Keseksaan India.
Sumber: World of Buzz, Hindustan Times