Kanak-kanak dipukul dan ditikam bapanya kerana gagal siapkan kerja sekolah
Kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun dibelasah dan ditikam bapanya sehingga
mengalami kecederaan dan lebam hanya kerana gagal menyiapkan kerja sekolah
yang diberi mengikut tempoh masa yang ditetapkan, lapor South China
Morning Post.
Difahamkan, mangsa telah diberikan kerja sekolah tersebut untuk dibuat
waktu cuti sekolah selama seminggu tetapi gagal menyiapkannya.
Si bapa yang mengetahui perkara itu kemudian mengarahkan mangsa melutut
dan mula dipukul.
Apabila nenek mangsa cuba masuk campur, si bapa menjadi semakin berang
lalu mengambil pisau dapur dan menikam mangsa.
Mangsa berkata, bapanya tidak menyedari bahawa perbuatannya itu sudah
keterlaluan sehingga mangsa terpaksa merayu agar dia memeriksa luka parah
yang dialaminya.
Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di bahagian belakang kepala, badan
dan punggung, selain luka berdarah di bahagian kakinya.
"Terdapat luka besar di bahagian kaki mangsa yang mungkin mengambil masa
dua minggu untuk pulih," kata pakar bedah berkenaan.
"Selepas dibenarkan keluar hospital, dia perlu menggunakan topang untuk
bergerak selama beberapa hari," katanya.
Nenek mangsa juga mengalami kecederaan di tangannya ketika cuba
menyelamatkan mangsa.
Related:
Mangsa menyifatkan bapanya panas baran dan kerap memukulnya. Namun ibu
tirinya berkata, mangsa selalu menolak untuk melakukan kerja sekolah yang
menyebabkan dia dan suaminya tertekan.
"Apabila suami saya melihat anaknya cedera, dia terus membawa mangsa ke
hospital. Dia sangat gelisah sehingga badannya mengigil," kata si
ibu tiri.
Tidak dinyatakan sama ada polis mahu menyiasat kejadian itu atau abaikan
sahaja.