Pelajar mati ditikam 10 kali kerana enggan beralih tempat duduk dalam bas
Seorang pelajar sekolah vokasional didakwa telah menikam seorang remaja
dalam kejadian di sebuah bas di Bangkok pada petang Ahad lalu, lapor Asia
One.
Mangsa, Kamolchat Saen-aroon, 18, disahkan meninggal dunia di Hospital
Theptharin selepas ditikam sebanyak 10 kali dengan senjata tajam.
Pemandu bas yang menyedari kejadian itu segera memandu ke balai polis
berdekatan dan remaja berusia 17 tahun itu terus ditahan pada jam 6.30
petang.
Ketua Polis Tha Rua, Sombat Kaenwichit berkata, suspek yang dikenali
sebagai Ae, didakwa atas tuduhan membunuh dan membawa senjata tajam di
tempat awam tanpa lesen.
"Ae mengaku telah menikam Kamolchat kerana dia enggan beredar dari tempat
duduknya di bahagian belakang bas," katanya.
Dalam keterangannya Ae berkata, dia dan teman wanitanya duduk di bahagian
belakang sejak menaiki bas itu dan dia tidak mahu ada orang lain duduk
berdekatan dengan mereka.
Bagaimanapun, Ae mengubah keterangannya semalam di mana dia mendakwa
kejadian itu berpunca dari dendam di antara dia dengan mangsa yang telah
terpendam lama.