Lelaki didapati bersalah kerana berzina, dihukum sebat 100 kali sampai pengsan
Seorang lelaki berusia 22 tahun pengsan ketika menjalani hukuman sebat
100 kali kerana didapati berzina di Aceh, semalam.
Lapor AFP, lelaki itu merayu agar tukang sebat berhenti menyebatnya
sebelum pengsan. Namun dia diberikan rawatan sebelum hukuman itu
diteruskan.
Sebaik saja selesai menjalani hukuman itu, lelaki terbabit terus
dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Difahamkan, lelaki itu didapati bersalah kerana berzina dengan seorang
wanita di perkarangan sebuah masjid di daerah Aceh Timur, bersama dengan
seorang lagi lelaki yang turut mempunyai hubungan dengan wanita
itu.
Wanita terbabit juga dikenakan hukuman sebat 100 kali.
Julai lalu, tiga penduduk Aceh dikenakan hukuman sebat 100 kali kerana
melakukan hubungan seks tanpa nikah. Pada tahun yang sama, dua lelaki yang
melakukan hubungan seks dengan remaja perempuan bawah umur juga menerima
hukuman yang sama.
Pada Oktober 2019, pihak berkuasa Aceh telah menetapkan pemburu haram
yang mengancam keselamatan orang utan, harimau dan hidupan liar lain juga
disebat 100 kali.
Undang-undang syariah di Aceh menetapkan, mana-mana individu yang
melakukan zina, hubungan songsang, berjudi dan minum arak akan dikenakan
hukuman sebat.
Sumber: AFP, Harian Metro