Lelaki minum alkohol, minyak masak & pelbagai jenis cecair untuk raih perhatian netizen, mati selepas 3 bulan kemudian
Seorang lelaki dari China yang berimpian menjadi selebriti online
dilaporkan meninggal dunia selepas membuat rakaman dirinya minum alkohol
dan pelbagai jenis cecair lain setiap hari selama tiga bulan.
Mangsa yang dikenali sebagai Chu, 29, membuat rakaman siaran langsungnya
pada 31 Disember lalu menerusi aplikasi Liaoliao, meminum alkohol di
sebuah pasar raya di Dalian, wilayah Liaoning.
Menurut seorang individu yang mendakwa dirinya rakan kepada mangsa
berkata, "Dia meninggal bukan sebab dia minum pada hari kejadian, tetapi
kerana dia melakukan tabiat itu selama tiga bulan.
"Dia minum bir dan pelbagai lagi cecair lain tanpa berehat setiap hari,"
katanya.
Chu kerap membuat siaran langsung melalui biliknya, sambil berinteraksi
dengan penonton.
Menurut rakannya lagi, selain alkohol, Chu juga pernah minum minyak masak
untuk memuaskan hati penontonnya dengan harapan mendapat bayaran wang
daripada mereka.
"Dalam satu klip video, dia duduk dan memaklumkan kepada penonton bahawa
dia tidak sanggup lagi melakukannya. Namun penonton tetap memaksa dia
untuk meneruskan.
"Chu berjaya meraih sebanyak 500 yuan (RM303) setiap hari atas usahanya
itu," katanya.
Laporan bagaimanapun tidak mendedahkan punca kematian Chu tetapi ada
mengatakan lelaki itu demam ketika menaiki teksi pulang ke rumahnya pada
hari sambutan tahun baru selepas melakukan siaran langsung minum pelbagai
cecair di pasar raya.
Pemandu teksi yang bimbang melihat keadaannya terus menghubungi polis dan
mangsa dikejarkan ke hospital di mana doktor mengesahkan mangsa telah
meninggal dunia.
Related:
Chu bukanlah individu pertama yang mati ketika membuat siaran langsung di
media sosial. Awal Februari ini, seorang lelaki di Shaoxing, wilayah
Zhejiang maut ketika cuba membuat penontonnya berasa kagum dengan melompat
dari jambatan ke dalam sungai.
Pada 2017, seorang lelaki muda juga maut ketika merakam gambar selfie di
menara tertinggi di Hunan bagi memenangi wang pertaruhan sebanyak 100,000
yuan (RM60,720).
Sumber: South China Morning Post