'Saya suntik cecair peluntur dan sabun ke dalam telinga, hidung, pusat..' - Ibu mengaku dera anak kerana tak sayang
Seorang wanita dijatuhkan hukuman penjara selepas mengaku bersalah
menyuntik cecair peluntur dan sabun ke dalam badan bayi perempuannya,
selain mencederakan mangsa dengan pisau pencukur, lapor Daily
Mail.
Elif K. telah menimbulkan kontroversi di Istanbul, Turki, di mana sebelum
ini dia telah disiasat dua kali oleh polis dan dibebaskan dan kembali
menjaga anaknya, Eylul Miray, 9 bulan.
Bagaimanapun, Elif akhirnya menyerah diri selepas anaknya dimasukkan ke
hospital untuk kali ketiga dan mengaku telah melakukan penderaan itu sejak
mangsa berusia sebulan.
"Saya tak ada perasaan sayang kepada dia dan ambil keputusan untuk
menderanya.
"Sejak dia berusia sebulan, saya menyuntik cecair peluntur dan sabun ke
dalam telinga, hidung dan pusat sehingga berdarah.
"Kemudian saya bawa dia ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Apabila
mereka benarkan dia dibawa pulang ke rumah, saya kembali menderanya. Saya
menyuntiknya lagi dengan cecair peluntur dan sabun, mencederakan kepala,
mata, kaki, tangan dan dadanya dengan pisau pencukur.
"Apabila dia berada di hospital, saya suntik cecair sabun ke dalam salur
darahnya dan saya juga suntik cecair peluntur ke salur darahnya," katanya
kepada pendakwa raya.
Elif yang tinggal bersama suami, Eray K, serta tiga orang anak mereka,
mula berasa curiga apabila anak bongsunya itu sering sakit.
Eray membawa anaknya untuk mendapatkan rawatan doktor selepas dia mula
mengalami pendarahan di telinga dan pusat, serta lebam di seluruh badan.
Namun doktor tidak dapat mengesan masalah yang berlaku pada
mangsa.
Apabila keadaan Eylul semakin merosot, dia dikejarkan ke hospital.
Selepas diperiksa, tempurung kepalanya retak, calar dan lebam di seluruh
badan menimbulkan kecurigaan doktor yang lalu memaklumkan perkara itu
kepada pihak polis.
Elif kemudian ditahan dan disoal siasat, tetapi dibebaskan selepas dia
berjaya menyakinkan polis bahawa dia tidak bersalah.
Kesihatan Eylul bertambah teruk dan sekali lagi dimasukkan ke hospital
Ogos tahun lalu. Elif ditahan semula dan dibebaskan tidak beberapa lama
kemudian.
Apabila mangsa dimasukkan ke hospital buat kali ketiga, doktor tidak
membenarkan Elif bertemu dengan anaknya yang sudah mula pulih.
Memandangkan ramai yang sudah mula curiga dengannya, Elif akhirnya
menyerah diri di balai polis dan mengaku mendera anaknya.
Mahkamah mendapati Elif bersalah kerana mendera bayinya dan hukuman
terhadapnya akan diputuskan tidak lama lagi.
Eylul kini dijaga oleh bapanya dan difahamkan kesihatannya semakin
bertambah baik berbanding sebelum ini.
Sumber: Daily Mail