Majikan siram air panas mendidih pada pembantu rumah
Seorang pembantu rumah, Eka Febriyanti, 21, di Gianyar, Bali, Indonesia,
mengalami luka melecur selepas disiram dengan air panas mendidih oleh
majikannya, Desak Made W yang berang dengan mangsa gagal mencari gunting
yang hilang.
Difahamkan, gunting yang didakwa hilang itu bernilai Rp88 ribu (RM25.33)
dan Desak meminta Eka mencari gunting itu untuk dia memotong kawat
besi.
Menceritakan semula kejadian yang berlaku pada 7 Mei itu, Eka berkata
diminta oleh Desak untuk mencari gunting. Setelah menerima arahan itu, Eka
terus mencari gunting tersebut sehinggalah ke gudang tetapi gagal
menemuinya.
Berang Eka tidak dapat mencarinya, Desak bertindak menyiram air panas ke
badan pembantu rumahnya itu, malah adik tirinya yang bekerja sebagai
pengasuh dan juga pengawal keselamatan turut berbuat demikian.
"Gunting hilang, dia suruh saya cari tetapi tidak ditemui. Lalu dia siram
air panas. Sedangkan saya sudah berusaha sehabisnya untuk mencari gunting
itu.
"Ya, majikan dengan adik saya dan pengawal keselamatan menyiram air panas
menggunakan periuk besar itu sebanyak dua kali dari kepala, belakang
badan, tangan, paha dan semua," katanya sambil menangis.
"Saya yang ketakutan terus melarikan diri," kata Eka pada media 15 Mei,
Rabu lalu.
Mangsa melarikan diri dengan memanjat pagar rumah ketika majikannya
sedang tidur dan terus ke rumah rakannya dengan bantuan orang awam yang
menemuinya di tepi jalan. Mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum
mendapatkan rawatan di hospital.
Siasatan awal polis mendapati, mangsa sudah bekerja dengan Desak selama
tujuh bulan selepas dicadangkan oleh adik tirinya itu. Sehingga kini Desak
masih belum membayar gajinya.
Susulan kejadian itu, tiga suspek telah ditahan polis untuk siasatan
lanjut.
Sumber: Detik News