Tak tahan kerap dibuli & dihina kerana miskin, remaja minum racun serangga sampai mati
Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di Shanghai mengambil tindakan
membunuh diri dengan minum racun serangga kerana kecewa selalu diejek
miskin oleh rakan sekelasnya.
Remaja berkenaan yang dikenali sebagai Lu Shijie, pulang ke rumah selepas
habis sekolah pada 14 November lalu.
Pada hari kejadian, dia mendiamkan diri dan kelihatan sedih ketika
melakukan kerja sekolah. Tidak lama kemudian, bapanya menerima mesej dari
guru Shijie yang memaklumkan anaknya tidak begitu sihat ketika di
sekolah.
Si bapa kemudian bercakap dengan Shijie yang mempertahankan dirinya dan
mendakwa guru terbabit bersikap prejudis terhadap dia.
Difaham pada hari kejadian, ketika dia sedang bermain dengan rakan
sekelas sebelum guru berkenaan datang. Namun, hanya Shijie yang didenda
oleh guru itu, manakala pelajar lain dilepaskan yang jelas sekali
menunjukkan guru itu tidak bersikap adil.
Selepas menjelaskan hal sebenarnya yang berlaku, Shijie menjadi tidak
tentu dan terus melarikan diri dari rumah. Bapanya cuba mengejarnya.
Tetapi apabila mereka menemui Shijie, remaja itu sudah terbaring tidak
bernyawa dan di sebelahnya terdapat botol racun serangga yang dipercayai
diminum oleh Shijie.
Mangsa dikejarkan ke hospital, malangnya selepas 24 jam kemudian, Shijie
disahkan meninggal dunia pada jam 9 pagi 15 November 2019.
Bapa Shijie berkata, setelah bercerai dengan isterinya, dia terpaksa
menghantar Shijie tinggal bersama dengan ibu bapanya di ladang. Sementara
dia pula terpaksa mencari pekerjaan di tempat lain dan keluarganya
bukanlah orang berada.
Shijie merupakan jenis introvert dan tidak begitu gemar berbicara
mengenai masalahnya dengan keluarga. Guru sekolah di tempat baru pula
tidak begitu mengambil berat mengenai anaknya kerana Shijie bukan orang
tempatan dan prestasi akademiknya tidak memberansangkan.
Si bapa kemudian pergi sekolah untuk bertanya mengenai hal anaknya pada
rakan sekelas dan terkejut apabila mendapati mendiang anaknya kerap
dibuli. Ada sesetengah pelajar tergamak menghina dia kerana miskin dan
perkara itu berlaku sepanjang semester berkenaan.
Pembuli itu akan mentertawakan pakaian Shijie dan mempersendakan datuknya
yang selalu datang menjemputnya pulang dengan basikal roda tiga. Malah,
mereka juga mempermainkan nama keluarga Shijie dan kerap memprovok
mangsa.
Sementara itu, pihak sekolah menafikan dakwaan mangsa dibuli dan enggan
memberi kenyataan lanjut mengenai kejadian itu serta menyerahkan
sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
Sumber: Sohu, World of Buzz