(Video) 'Dia sengaja celup tangan anak saya ke dalam periuk mendidih!' - Pembantu Rumah aniaya anak majikan ditahan
Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu yang berlaku pada jam 10.50
pagi 14 Januari 2020 di Block 992B Buangkok Link, Singapura.
"Wanita berusia 30 tahun berasal dari Myanmar itu ditahan sehari selepas
kejadian itu berlaku," kata jurucakap polis yang juga memaklumkan siasatan
sedang dijalankan.
Ibu mangsa, Amy Low, 40, turut berkongsi gambar-gambar kecederaan yang
dialami anak perempuannya di akaun media sosialnya.
"Pada pukul 5.20 petang, anak perempuan saya yang berusia 8 tahun
menghubungi bapanya dan beritahu adiknya mengalami luka
melecur.
"Kami terkejut dan terus pulang lalu membawanya ke klinik berhampiran.
Tetapi disebabkan kecederaan yang dialami mangsa adalah serius, doktor
merujuk kes itu ke hospital besar," katanya.
Sebelum ini Amy pernah memaklumkan kepada pembant rumah untuk tidak
membawa anak-anaknya ke dapur ketika dia sedang memasak atas dasar
keselamatan.
Pembantu rumah itu menjelaskan dia mendukung mangsa sambil memasak. Namun
secara tidak sengaja tangan mangsa tersentuh periuk mendidih. Amy percaya
dengan alasan itu tetapi tidak bagi doktor kerana kecederaan mangsa tidak
seperti yang digambarkan.
Keadaan menjadi semakin pelik bila mana wanita itu mula mengemas semua
pakaiannya dengan alasan mahu segera pulang ke pangkuan ejennya. Amy yang
belum mengesyaki apa-apa memujuk dia untuk terus kekal tinggal dengan
mereka. Malah tidak menyalahkan pembantu rumah itu di atas apa yang
berlaku.
Amy memaklumkan kepada ejen pembantu rumah mengenai perkara itu dan
ejen itu berjanji akan hantar seseorang untuk mengambil pembantu rumah
itu.
Di saat itu, timbul rasa curiga si ibu yang mahu memeriksa video CCTV.
Alangkah terkejutnya si ibu apabila dia mengetahui apa sebenarnya yang
telah berlaku.
"Apa yang saya saksikan adalah amat mengerikan. Dia sengaja melakukannya!
Jelas sekali itu bukan kemalangan yang tidak disengajakan! Dia ambil
tangan anak saya dan celup ke dalam periuk mendidih.
"Saya menggigil tengok semua itu dan segera membuat laporan polis.
Sementara tunggu kedatangan polis, saya maklumkan kepada ejen apa yang
sebenarnya telah berlaku. Tetapi ejen itu gelisah dan menegaskan kami
patut pulangkan pembantu rumah itu kepada mereka dan 'kes ditutup macam tu
je'," katanya.
Berdasarkan video CCTV, pembantu rumah itu dilihat sedang mendukung
mangsa sambil memasak dalam kedudukan yang sangat dekat dengan periuk
mendidih itu sebelum mencelup tangan mangsa ke dalam periuk itu yang
menyebabkan mangsa menangis.
Amy kemudian berdepan dengan pembantu rumahnya itu. Wanita itu berkata
dia mahu pulang ke rumah dan rakannya yang mengajar dia berbuat demikian
agar dia dapat pulang segera ke negaranya.
"Apabila saya tanya adakah ejen dia juga terlibat dalam hal ini, dia kata
ya. Ejen itu memberitahu yang dia boleh pulang ke rumah jika dia melakukan
perbuatan itu," katanya.
Dua minggu sebelum itu, pembantu rumahnya ada menyuarakan hasrat untuk
pulang ke negaranya. Tetapi segalanya selesai apabila dia berbincang
dengan ejen.
Amy kini sedang berusaha menuntut keadilan untuk anaknya.
Sumber: Stomp