Berang cinta tak berbalas, lelaki buang wanita kesayangan dari tingkat 19
CHINA - Seorang lelaki didakwa di mahkamah Rabu lalu atas tuduhan
membunuh seorang wanita yang menolak cintanya dengan membuangnya dari
tingkat 19 bangunan kediaman.
Tertuduh berusia 27 tahun dari Hangzhou itu, difahamkan telah menyimpan
perasaan terhadap wanita berkenaan selama 8 tahun sebelum bertindak
membunuhnya. Tertuduh juga dikatakan menaruh rasa cinta pada wanita itu
sejak dari bangku sekolah lagi di mana kedua-duanya merupakan rakan
sekelas.
Lapor South China Morning Post, tertuduh dan wanita kesayanganya itu
sebelum ini amat rapat. Selepas tamat persekolahan, mereka bersama-sama
meninggalkan negara asal untuk menyambung pengajian di Amerika
Syarikat.
Sejak dari itu, mereka menjadi semakin rapat dan kerap menghubungi sesama
diri dan wanita itu akan sentiasa menceritakan perkembangan dirinya pada
lelaki terbabit.
Bagaimanapun, dia menolak lamaran lelaki itu untuk bercinta. Sebaliknya
meminta ruang dan masa untuk mengenali hati budi masing-masing. Enggan
berputus asa, lelaki itu kemudian cuba memenangi hatinya dengan menghadiah
barang-barang berharga seperti beg tangan dan barang kemas.
Pada Januari 2017, tertuduh berpindah ke Hangzhou, dipercayai untuk
mendekati wanita berkenaan. Dari situ, kedua-dua mereka mula menjadi rakan
serumah yang juga tinggal bersama seorang lagi rakan wanita.
Suatu hari, hubungan mereka menjadi tegang apabila lelaki itu menemui
gambar wanita terbabit bersama lelaki lain yang diletakkan di meja
biliknya.
"Saya kejar dia untuk lapan tahun dan dia tidak pernah bersetuju untuk
merakam gambar dengan saya," kata tertuduh pada mahkamah.
Dalam pengakuannya, tertuduh memaklumkan dia terdengar wanita itu
bercakap tentang dirinya pada telefon, yang mengatakan dia tahu tertuduh
cuba menagih cinta daripadanya, tetapi malangnya tertuduh bukan lelaki
pilihannya.
"Saya tidak dapat tidur pada malam itu dan terasa sakit yang tak
terkata," katanya.
Menurut laporan polis, siasatan juga mendapati lelaki itu pernah mencari
kata kunci 'suicide' dan 'sentence for murder' di internet yang dipercayai
mempunyai kaitan dengan kematian mangsa.
Pada pagi keesokan harinya, lelaki itu menyerbu ke dalam bilik dan
mengangkat mangsa sebelum membuangnya dari balkoni kediaman mereka di
tingkat 19.
Difahamkan, mahkamah masih lagi membicarakan kes tersebut dan hukuman
masih belum ditentukan untuk kesalahan tertuduh.