7 kali gagal ujian memandu, kali ke-8, kereta terbalik
CHINA - Seorang wanita di Zhuhai, Guangdong, menjalani latihan memandu
buat kali kelapan setelah seringkali gagal dalam ujian permohonan lesen
memandunya.
Malangnya, dia bukan sahaja gagal buat kali kelapan, malah kereta yang
dipandunya itu terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan kereta itu
terbalik, lapor Oriental Daily.
Kejadian itu berlaku pada 18 Ogos lalu, apabila mangsa hilang kawalan
ketika melalui jalan berbentuk 'S' dan terus melanggar sebatang pokok
berhampiran, menyebabkan keretanya terbalik.
Bagaimanapun, mangsa terselamat dari sebarang kecederaan teruk dan mampu
keluar dari kereta tersebut.
Berdasarkan video yang dirakam orang awam, dua lelaki menghulurkan
bantuan dan cuba menenangkan mangsa yang kelihatan panik dengan kejadian
yang berlaku.
"Tak apa, tak ada apa. Yang penting awak tak cedera. Jangan panik, buka
tali pinggang keselamatan dan keluar perlahan-lahan," pujuk salah seorang
lelaki berkenaan.
Namun selepas pulih dari keadaan trauma itu, barulah mangsa tersedar
bahawa dia sebenarnya tertekan pedal minyak yang disangkanya pedal
brek.
Difahamkan, mangsa sebelum ini cuba memohon dan menjalani ujian lesen
kereta manual selama lima kali, tetapi gagal. Mangsa masih nekad mahu
memiliki lesen kereta dan cuba memohon dan menjalani ujian lesen memandu
automatik sebanyak dua kali, malangnya dia masih menemui
kegagalan.