Dituduh Mencuri Buku Warna, Kanak-Kanak Dipukul Dan Ditampar Sehingga Patah Gigi
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dikurung dan ditampar
pipinya hanya kerana didakwa mencuri buku mewarna dalam kejadian yang
berlaku di sebuah pasar raya di Sibu, Sarawak, pada 28 Januari
2019.
Menurut laporan Seehua, kakitangan wanita di premis itu mendakwa dia
ternampak kanak-kanak itu mencuri buku mewarna lalu segera menangkapnya
sebelum diserahkan kepada penyelianya yang sedang bertugas.
Difahamkan, kejadian itu berlaku pada jam lima petang dan kanak-kanak
terbabit dibawa ke bilik stor di mana dia dipaksa menyapu lantai sebagai
hukuman.
Apabila dia cuba melarikan diri, penyelia terbabit menampar mukanya dan
menggunakan penyangkut baju untuk memukul mangsa sehingga giginya
tercabut.
Tidak dijelaskan sama ada pihak pasar raya itu mempunyai bukti kukuh yang
mendakwa kanak-kanak itu mencuri buku mewarna.
Selepas dua jam setengah, mangsa dibenarkan pulang dengan giginya yang
patah, mata kiri dan kakinya lebam akibat dipukul.
Nenek mangsa yang terkejut melihat keadaan cucunya terus memaklumkan
kepada bapa mangsa untuk pulang melihat anaknya itu.
Berang melihat kecederaan pada tubuh badan mangsa, si bapa mahu menuntut
keadilan dan membawa anaknya ke balai polis untuk membuat
laporan.
Bertindak di atas laporan itu, polis pergi ke pasar raya tersebut untuk
melakukan siasatan dan menemui kesan darah yang dipercayai milik
mangsa.
Penyelia pasar raya itu direman pada keesokan hari untuk siasatan dan
juga diarahkan menjalani ujian saringan air kencing. Kes itu kini disiasat
di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Kejadian itu turut tersebar di media sosial mengundang kemarahan netizen
yang mengkritik cara penyelia terbabit menangani kes itu. Menurut netizen,
pihak pasar raya sepatutnya menghubungi ibu bapa kanak-kanak itu, bukannya
mengambil tindakan sendiri.
Sumber: Seehua, World of Buzz