Kanak-Kanak Meninggal Dunia Selepas Mulut Digam Dan Dilekat Dengan Pita Selofan Oleh Guru Tadika Disebabkan Terlalu Bising Di Kelas
CHINA - Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun meninggal dunia selepas
mulutnya dilekat dengan pita selofan kerana terlalu banyak bercakap, dedah
bapa mangsa.
Ibu bapa mangsa mendedahkan kejadian yang menimpa anak perempuan mereka
di weibo, laman sosial China, pada 12 Jun lalu.
Mangsa, Guo Jintong, 6, meninggal dunia di tadika Huadian Experimental
Kindergarden di bandar Huadian, wilayah Jiin. selepas sesi senaman pagi
pada hari yang sama.
Lelaki yang mengakui dirinya bapa kepada Jintong mendakwa guru di tadika
itu, Ju Chunwei, telah menuduh anaknya terlalu banyak bercakap ketika sesi
senaman pagi dijalankan.
Selepas Jintong dan rakan sekelasnya masuk semula ke dalam kelas, guru
terbabit telah meletakkan gam dan membalutnya mulut Jintong dengan pita
selofan.
Jintong dikatakan telah dihantar oleh pihak tadika ke klinik berhampiran
tidak beberapa lama selepas insiden itu. Namun pihak klinik mengesahkan
mangsa telah meninggal dunia lebih kurang 40 minit selepas mulutnya
disellotape.
Bapa mangsa juga mendakwa, apabila ambulans tiba, anaknya telah meninggal
dunia lebih kurang 30 minit.
Berdasarkan status yang dimuat naik lelaki itu yang berang mendakwa pihak
berkuasa Huadian cuba menutup kes tersebut dan tiada pihak yang berwajib
mahupun polis yang tampil memberi penjelasan berhubung kejadian
itu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pusat informasi media sosial
Huadian, bantuan ambulans telah dikerahkan ke tadika itu pada jam 10.19
pagi, 12 Jun.
Guru di tadika tersebut menghantar mangsa ke klinik selepas mendapati
mangsa tidak sedarkan diri, sebelum menghubungi datuknya yang kemudian
menemani mangsa ke hospital.
Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi di hospital sebelum
sempat mendapat rawatan sepenuhnya.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan mulut mangsa dilekat dengan
pita selofan atau sebaliknya. Malah tidak menyatakan jika mangsa dituduh
terlalu banyak bercakap.
Difahamkan, kes itu sedang disiasat oleh pihak polis. Guru tadika
berkenaan juga telah diambil keterangan dan diberhentikan dari tadika
serta-merta.