Wanita Baling Duit Syilling Dalam Enjin Pesawat Supaya Penerbangannya Selamat
PUDONG, CHINA - Berharap penerbangannya selamat, seorang wanita warga tua
membaling beberapa keping duit syilling ke dalam enjin kapal terbangnya
menyebabkan penerbangan pesawat itu terpaksa ditunda, lapor Shanghaiist.
Semasa memasuki kapal terbang, penumpang China Southern Airlines yang
dijadualkan berlepas dari Shanghai ke Guanzhou ternampak seorang wanita
warga tua bernama Qiu membaling duit syilling ke enjin pesawat, lalu
segera melaporkan perkara itu kepada polis lapangan terbang.
Beberapa penumpang yang menceritakan semula kejadian itu di laman Weibo
berkata, wanita warga tua itu berbuat demikian atas alasan berharap agar
penerbangan pesawatnya ke destinasi selamat.
Wanita terbabit yang merupakan pengganut agama Buddha telah ditahan untuk
disiasat.
Pekerja lapangan terbang terpaksa menghabiskan masa selama empat jam
untuk memeriksa dan mencari duit syilling dalam enjin pesawat tersebut.
Hasilnya, mereka menemui lapan keping duit syilling di sekitar enjin dan
hanya sekeping duit syilling sahaja yang termasuk ke dalam enjin
pesawat.
Menurut juruterbang pesawat berkenaan, meskipun hanya sekeping duit
syilling yang termasuk dalam enjin, ia boleh mengakibatkan bencana besar
jika duit syilling itu tidak dikeluarkan.
Ekoran kejadian itu, penerbangan yang sepatutnya berlepas jam 12.40
tengah hari ke Guangzhou itu terpaksa ditunda dan berlepas selepas lima
jam kemudian.