'Tak Sangka Suami Sanggup Makan Luar Dengan Adik Saya Sendiri Ketika Saya Sedang Berpantang'
KUALA LIPIS, PAHANG - Hancur luluh hati seorang isteri apabila mendapat
tahu suaminya curang dan yang lebih teruk lagi, orang ketiga itu adalah
saudara kandungnya sendiri.
Wanita yang hanya dikenali sebagai Ry, 35, mendakwa suaminya 'makan luar'
dengan adiknya sendiri semasa dia berada dalam tempoh berpantang, selepas
melahirkan anak bongsu kira-kira setahun lalu.
"Saya memang tidak sangka. Lebih menyakitkan hati saya bila dapat tahu
suami sanggup makan luar dengan darah daging saya sendiri ketika saya
sedang berpantang anak bongsu kami," katanya kepada Sinar
Harian.
Pada mulanya, Ry, ibu kepada empat orang anak ini tidak percaya suaminya
mempunyai hubungan sulit dengan adik perempuannya yang ketika itu masih di
bawah umur, sanggup melakukan perbuatan sumbang itu. Namun terdapat
beberapa bukti yang jelas menunjukkan kecurangan mereka.
Menurut Ry, setelah dia mengasak suami dan adiknya dengan soalan secara
bertubi-tubi, akhirnya mereka mengaku menjalinkan hubungan cinta. Lebih
teruk lagi mereka juga pernah terlanjur.
"Ketika mendengar pengakuan itu, hancur luluh hati saya. Tambahan pula
saya sedang berpantang anak keempat pada ketika itu. Suami seolah-olah
lupa pengorbanan saya mengandung dan melahirkan zuriat
untuknya.
"Mujur saya tak meroyan akibat perbuatan terkutuk mereka itu,"
katanya.
Difaham, Ry pada awalnya tidak mahu membuat laporan polis berhubung
perbuatan suami dan adik kandungnya itu kerana memikirkan masa depan
anak-anaknya yang masih kecil.
Tetapi setelah dinasihatkan oleh ahli keluarganya, akhirnya Ry bersetuju
untuk membuat laporan polis untuk memberi pengajaran kepada
suaminya.
Sinar Harian melaporkan, lelaki itu kini berada dalam tahanan
penjara atas tuduhan merogol mangsa yang masih di bawah umur. Jika disabit
kesalahan, lelaki itu akan dikenakan hukuman berat.
"Saya juga dalam proses menuntut cerai dengannya. Biarlah saya pikul
tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi membesar dan memberi pendidikan
terbaik buat anak-anak yang berusia setahun hingga 13 tahun.
"Saya juga telah memaafkan perbuatan adik dan sekarang dia telah berumah
tangga dengan lelaki pilihan hatinya," katanya.