'Saya dipatuk ular' - Doktor dan jururawat tergamam bila pesakit bawa ular yang masih hidup
Orang ramai selalu dinasihatkan untuk membunuh ular yang telah mematuk
kita dan bangkainya dibawa ke hospital agar doktor mudah mengenalpasti
jenis ular tersebut dan ubat anti-venom untuk merawat pesakit.
Bagaimanapun, wanita ini mengambil keputusan untuk tidak membunuh ular
yang mematuknya, sebaliknya dia menangkap dan membawa ular yang masih
hidup itu ke hospital.
Menurut laporan Sin Chew dan China Daily, kejadian itu
berlaku pada 29 Julai lalu di wilayah Zhejiang, China. Wanita berusia
20-an terbabit sebelum itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya pada malam
kejadian. Malangnya, telefon bimbit miliknya terjatuh dalam
semak.
Ketika dia cuba mengambil telefon bimbitnya semula, seekor ular yang
bersembunyi dalam semak itu telah mematuk ibu jari tangan
kanannya.
Walaupun kecederaannya bukan serius, namun mangsa tahu dia perlukan
rawatan dan terus menangkap ular itu dengan tangan kosong dan pergi ke
hospital.
Berdasarkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa mengangkat
tangannya untuk menunjukkan kepada petugas perubatan dan memberitahu "Saya
dipatuk oleh ular.".
Doktor dan jururawat tergamam melihat keberanian wanita itu.
"Kebiasaannya, mangsa akan membunuh ular yang mematuknya sebelum bawa ke
hospital. Luka patukkannya kecil saja, tiada sesiapa yang berani mendekati
wanita itu," kata salah seorang doktor yang merawatnya.
Related:
Bagi mengelakkan pesakit lain ketakutan, mangsa menyumbat kepala ular itu
dalam botol agar ia tidak dapat mematuk orang lain.
Mangsa bernasib baik, ular tersebut tidak berbisa. Selepas lukanya
dibersihkan, doktor memberi suntikan dan dia dibenarkan pulang ke
rumah.
Sumber: World of Buzz