Ibu bunuh bayinya di hospital kerana dia tidak mahu anak perempuan
Seorang wanita berumur 32 tahun didakwa membunuh bayinya sendiri di
sebuah hospital di barat Delhi pada Ahad lalu, hanya kerana dia tidak mahu
anak perempuan ketiga, lapor Hindustan Times.
Reeta Devi dalam keterangannya memberitahu dia berada dalam keadaan tidak
sedar ketika dia membunuh anaknya itu.
Timbalan Komisioner Polis (barat) Vijay Kumar berkata, Devi sebelum ini
pernah memberitahu kakitangan hospital bahawa suaminya tidak mahu menimang
anak perempuan.
"Sebelum bersalin, Reeta Devi memakumkan kepada kakitangan hospital yang
dia seringkali bertengkar dengan suaminya disebabkan dua anak
perempuan.
"Dan disebabkan itu, Devi tidak mahu menimang bayi perempuan lagi,"
katanya.
Laporan bedah siasat mengesahkan bayi malang itu telah dibunuh dan polis
mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh dan Devi terus ditahan untuk
siasatan lanjut.
Siasatan polis juga mendapati, suami suspek, Ashrafi Mahto, tidak
mengetahui rancangan pembunuhan itu. Polis juga tidak menemui sebarang
bukti yang menunjukkan penglibatan suami Devi.
Mahto turut menafikan dakwaan kononnya dia ada memberitahu isterinya yang
dia mahukan anak lelaki.
"Untuk lelaki miskin seperti saya, anak perempuan atau lelaki tak
penting," katanya.
Mahto tinggal bersama isteri dan tiga orang anaknya. Dua anak perempuan
berusia 8 dan 9 tahun, dan seorang anak lelakinya berusia 4 tahun.
Sementara Devi suri rumah sepanjang masa.
Devi dimasukkan ke Hospital ESIC di Moti Nagar pada waktu tengah hari
Sabtu lalu selepas mengalami tanda-tanda mahu bersalin ketika kandungannya
berusia 9 bulan.
Devi selamat melahirkan bayi perempuan pada jam 3.50 pagi Ahad. Doktor
kemudian datang memeriksa keadaan si ibu dan anaknya sekitar jam 7 pagi
dan kedua-duanya berada dalam keadaan stabil.
Namun kira-kira jam 9 pagi, Devi mendakwa anaknya tidak bergerak dan
doktor mengesahkan bayi itu telah meninggal dunia.
Pemeriksaan mendapati terdapat kesan hitam di sekitar hidung mangsa
selain ditemui di sekitar mulutnya. Doktor mengesyaki mangsa telah dibunuh
dan terus memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.
"Kejadian itu berlaku ketika suspek bersendirian dalam wad dan kesempatan
itu digunakannya untuk mencekik anaknya sehingga mati," kata Kumar.
Mayat mangsa dihantar ke pusat perubatan untuk dibedah siasat dan ibunya
ditahan untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Doktor Psikiatri Nimesh Desai yang juga Pengarah Institut
Kelakuan Manusia dan Sains berkata, tindakan itu mungkin berpunca dari
'postpartum depression' atau meroyan.