"Saya Ingat Ikan Ni Boleh Makan..", Terlalu Lapar, Lelaki Ini Goreng Ikan Flower Horn Milik Rakannya
KUALA LUMPUR - Warga Masak Apa Hari Ni (MAHN) terkejut dengan perkongsian
seorang ahlinya yang menyatakan dia telah memakan ikan Flower Horn,
mencetuskan pelbagai reaksi netizen.
"Okeylah rasa dia macam ikan talapia," tulisnya jam 5.57 pagi tadi.
Ramai yang mempersoalkan, apakah ikan Flower Horn yang dikategorikan
sebagai ikan perhiasan bernilai ratusan ringgit itu boleh dimakan? Ada
yang terliur, tidak kurang juga yang rasa kembang tekak.
Bagi individu yang dinamakan sebagai M.A, dia tidak tahu sama ada ikan
perhiasan itu boleh dimakan atau tidak, tetapi dia tidak mengalami
sebarang masalah selepas makan ikan tersebut.
"Awat tak boleh makan ka? Cheq telan dah, kenyang dah,"
katanya.
Ramai netizen yang mula mempertikaikan sama ada boleh atau tidak makan
ikan flower horn, menyebabkan lelaki itu mula rasa resah dan bimbang,
apakah tindakannya memakan ikan perhiasan itu selamat atau tidak? Dalam
penjelasannya kepada netizen, dia menyangka semua spesis ikan boleh
dimakan.
"Call tanya mak tadi. Mak kata tak boleh makan. Dah masuk dalam perut,
nak buat macam mana? Ingatkan semua ikan boleh dimakan. Cheq pun
makanlah," katanya.
Jelasnya lagi, dia kerap melihat ahli group MAHN berkongsi gambar-gambar
makanan yang sedap. Kebetulan pula pada hari itu dia sedang lapar,
malangnya tiada makanan pula di rumah bujangnya itu.
Timbulnya idea apabila dia ternampak ikan perliharaan rakannya dalam
akuarium. Lalu diambil dan digoreng untuk dijadikan santapan.
Bagaimanapun, lelaki itu menjadi bahan gelak ketawa rakannya, sehingga
dibahan bertubi-tubi menyebabkan dia mula rasa menyesal dengan tindakannya
memakan ikan tersebut.
Sementara itu di media sosial, netizen juga merasa lucu dan menganggap
lelaki itu terlalu lapar sehingga terdesak memakan ikan perhiasan milik
rakan serumah. Ada segelintir netizen yang mengusik, kononnya jendul di
kepala ikan tersebut akan timbul di dahinya selepas beberapa hari memakan
ikan flower horn.
Disebalik rasa menyesal kerana tidak bertanya terlebih dahulu, M.A memuji
kesedapan ikan flower horn yang mana isinya rasa manis-manis liat.
Menjawab pertanyaan netizen mengenai jendul ikan tersebut, ianya kosong
dan tidak berisi, malah mengecut apabila digoreng.
Tidak beberapa lama kemudian, lelaki itu telah menarik balik postnya
tanpa diketahui sebabnya.