"Dia Tinggalkan Saya Sebab Tu Saya Letak Bom..", Tak puas hati ditinggalkan, bekas teman lelaki lekat 'bom' di kereta
KLANG, SELANGOR - Sejenis bom buatan sendiri ditemui dalam kereta seorang
jururawat berusia 27 tahun, malam tadi, lapor Harian
Metro.
Dalam kejadian jam 10 malam semalam, wanita yang memandu kereta Proton
Saga itu dalam perjalanan pulang ke rumah, terdengar bunyi 'beep' sebelum
memberhentikan kereta di rumah bapa saudaranya di Taman Damai, Kapar,
untuk meminta bantuan.
Selepas diperiksa, bapa saudaranya menemui sejenis objek yang diubahsuai
seperti bahan letupan yang dilekatkan di bawah bumper kereta jururawat
berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil
Ahmat berkata, sepasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) IPK Selangor dikerahkan
ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.
"Hasil pemeriksaan mendapati objek berkenaan adalah peranti letupan atau
Improvised Explosive Device (IED). Ia boleh menyebabkan letupan kecil dan
mungkin boleh meragut nyawa," katanya.
IED itu kemudian dimusnahkan di kawasan padang bola bersebelahan dengan
Balai Polis Kapar dengan menggunakan robot pemusnah bom, jam 2.30 pagi
tadi.
Mangsa mengesyaki IED yang dilekatkan pada keretanya itu dilakukan oleh
bekas teman lelakinya. Ini kerana dia baru saja memutuskan hubungan dengan
lelaki itu selepas menjalinkan hubungan cinta selama tujuh tahun dan
mendapati lelaki itu berlaku curang terhadapnya.
Bagaimanapun, lelaki itu meminta pampasan di atas tindakan jururawat
berkenaan. Namun tuntutannya itu tidak dipenuhi menyebabkan lelaki itu
menganggunya beberapa kali sehingga dia tidak mempunyai pilihan lain untuk
membuat laporan polis.
Difahamkan, mangsa telah membuat sebanyak lima laporan polis secara
berasingan terhadap lelaki itu yang seringkali menganggunya.
Dalam laporan Harian Metro hari ini, bekas teman lelaki
jururawat berkenaan telah ditahan di rumahnya di Taman Petaling Indah,
Klang, dalam serbuan jam 3.30 pagi tadi.
Suspek berusia 28 tahun, merupakan bekas penuntut kolej swasta dalam
bidang elektronik pada tahun 2006 dan pernah bekerja sebagai jurujual di
kedai elektrik.
Pemeriksaan polis di kediaman suspek juga menemui beberapa alat
elektronik termasuk alatan dan mercun letupan yang disyaki digunakan untuk
membuat bahan letupan jenis IED.
"Suspek mengaku sebagai bekas kekasih kepada mangsa dan kini mereka
sedang berbalah disebabkan masalah kewangan. Polis masih meneruskan
siasatan bagi menentukan motif sebenar.
"Reman ke atas suspek dibenarkan selama empat hari mulai hari ini
sehingga 13 Julai ini," katanya.