Media Sosial Dan Sesi Reunion Antara Punca Pasangan Curang Sehingga Menyebabkan Perceraian
KUALA LUMPUR - Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
menerusi kajiannya mendapati, penggunaan media sosial secara meluas dan
penganjuran program pertemuan tautan kasih alumni sekolah (reunion),
menjadi antara pencetus kecurangan sehingga menyebabkan pasangan suami
isteri bercerai, lapor Berita Harian.
Selain menjalinkan hubungan menerusi aplikasi sosial seperti Facebook,
WhatsApp, WeChat dan Instagram, LPPKN juga turut mendapati isu kecurangan
membabitkan hubungan terlarang di pejabat, hubungan dengan teman laman
yang terjalin selepas menghadiri reunion sekolah dan
sebagainya.
Dalam kajian LPPKN menerusi Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima
(KPKM-5), mendapat kecurangan kini berada pada tangga kedua selepas tiada
persefahaman yang menjadi punca utama perceraian dalam kalangan pasangan
yang dikaji.
KPKM-5 mendapati, 56.2% lelaki yang dikaji mengakui tiada persefahaman
menjadi punca perceraian, manakala 11.8% lagi bercerai kerana isteri
berlaku curang.
Dalam kalangan wanita pula, 20.5% mengakui perceraian yang dialami mereka
disebabkan kecurangan suami, manakala 38% disebabkan tiada
persefahaman.
Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kes perceraian
membabitkan pasangan bukan Islam pada tahun lalu adalah 9,900 kes dengan
tiga negeri mencatatkan kes tertinggi iaitu Johor (1,814 kes), Kuala
Lumpur (1,745 kes), dan Sarawak (1,169 kes). Sehingga 30 Jun tahun ini,
3,069 kes perceraian didaftarkan.
Bagi pasangan beragama Islam pula, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia
merekodkan sebanyak 48,077 kes perceraian sehingga Oktober 2016, manakala
sebanyak 63,463 perceraian berlaku sepanjang 2015.
Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Dr Siti Norlasiah Ismail berkata, berdasarkan
dapatan KPKM-5 yang dijalankan setiap 10 tahun itu, pihaknya bersetuju
kecurangan dalam perkahwinan menjadi antara punca utama keretakan rumah
tangga sehingga menyebabkan perceraian dalam kalangan pasangan suami
isteri di negara ini.
Beliau tidak menolak kesan penggunaan media sosial seperti Facebook,
WhatsApp, WeChat dan Instagram berpotensi menyumbang kepada kecurangan
sekiranya tidak digunakan secara bertanggungjawab.
"Penceraian menjadi langkah terakhir apabila wujud pihak ketiga sehingga
memusnahkan perkahwinan kami yang menginjak usia lima tahun, kata seorang
pekerja swasta berusia 37 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Mariana
itu.
Mariana mengakui dia tersilap langkah berkenalan dengan seorang lelaki
pada 2011 yang mendorong dia berlaku curang terhadap suaminya.
Pada awalnya mereka hanya berkawan sahaja, namun hubungan itu bertukar
kepada kekasih apabila mereka selalu bertemu selepas habis waktu
bekerja.
Bagaimanapun, kecurangannya itu terbongka selepas suaminya membaca
perbualan SMSnya bersama lelaki terbabit di telefon bimbit sebelum nekad
bercerai. Mariana kini tinggal bersama lelaki terbabit, tetapi masih belum
mempunyai ikatan yang sah.
Dalam kes kedua, Tina, 37, menjadi janda selepas bercerai dengan suaminya
yang menyimpan kekasih lama sebagai perempuan simpanan. Ibu kepada seorang
anak itu terkilan apabila mendapati rumah tangga yang dibinanya sejak dua
tahun rupa-rupanya telah dikhianati.
Menurut Tina, suaminya sudah berhubungan dengan kekasihnya itu sejak lima
tahun yang lalu, sebelum dia dan suaminya berkahwin. Suaminyga juga
mengakui bahawa dia lebih mencintai kekasihnya berbanding Tina,
menyebabkan Tina nekad mengambil keputusan untuk bercerai.
"Kami berkahwin atas dasar pilihan keluarga dan sebelum perkahwinan itu
berlangsung, bekas suami tidak pernah beritahu perkara sebenar sehinggalah
dia kantoi apabila terjumpa pakaian dalam wanita di dalam bagasinya ketika
dia baru pulang dari bercuti di luar negara," katanya.
Di Shah Alam, Joe, seorang penguatkuasa kerajaan kini di ambang
perceraian dengan isterinya selepas terjebak citna tiga segi selepas
menghadiri acara reunion yang diadakan sempena sambutan Aidilfitri, dua
tahun lalu.
Menurut Joe, dia terjumpa semula dengan bekas rakan sekelasnya itu yang
masih bujang dan mula berhubungan melalui WhatsApp.