"Sarang Tebuan Tu Kat Depan Rumah Je..", Kanak-Kanak Maut Disengat Lebih Dari 60 Tebuan
KOTA BHARU, KELANTAN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun
meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ
II), Kota Bahru, selepas disengat lebih dari 60 ekor tebuan ketika bermain
di halaman rumahnya, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian di rumahnya di Kampung Benting Lintang, Jertih, kelmarin,
mangsa, Muhammad Adrian Aiman Mohd Rosmin, 8, murid tahun dua Sekolah
Kebangsaan (SK) Benting Lintang, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11
pagi tadi.
Bapanya, Mohd Rosmin Ong Bo Jit @ Hussin, 30, berkata, kejadian itu
berlaku ketika anak sulungnya sedang bermain kira-kira 100 meter dari
rumahnya.
Sebelum itu, mangsa dikatakan bermain badminton berdekatan kawasan itu
dan kemudian bermain dengan rakannya di dalam semak
berhampiran.
"Kemudian dia bersama empat rakannya diserang tebuan yang bersarang di
atas pokok di kawasan itu dan anak saya yang paling banyak kena sengat di
seluruh badan.
"Berdasarkan kesan pada tubuhnya, dipercayai dia disengat lebih dari 60
ekor tebuan," katanya, memetik laporan dari portal Harian
Metro.
Mangsa kemudian dihantar pulang ke rumah oleh anak saudaranya dengan
motosikal pada jam 6.45 petang dalam keadaan yang lemah namun masih boleh
bercakap.
Melihat keadaan mangsa yang teruk itu, Mohd Rosmin dan isteri, Nor Azah
Hamid, 27, terus mengejarkannya ke Hospital Besut dengan
kereta.
Menurut Rosmin, anaknya masih boleh bercakap ketika itu sehingga pihak
hospital memasukkan tiub ke mulutnya pada jam 9 malam untuk memastikan dia
tidur dan berehat.
"Memandangkan keadaannya yang agak teruk menyebabkan Muhammad Adrian
kemudiannya dirujuk ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan
lanjut.
"Selepas dirawat di hospital itu, keadaannya stabil. Bagaimanapun bermula
jam 9 pagi tadi, anak saya jadi kritikal kerana buah pinggangnya sudah
tidak berfungsi sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira dua jam
kemudian," katanya.
Jenazah Muhammad Adrian telah selamat dikebumikan di Kampung Benting
Lintang, petang tadi.