'Saya menyesal, saya reda dengan hukuman ini' - Ibu dipenjara 18 tahun kerana lemaskan anaknya terkencing dalam seluar
Di Brooklyn, seorang wanita dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun kerana
melemaskan anak perempuannya berusia dua tahun dengan membenam kepala
mangsa dalam bekas berisi air, dalam kejadian empat tahun
lalu.
Lin Li, 28, didakwa di mahkamah pada Jun 2019 atas pertuduhan membunuh
dan dua lagi pertuduhan di mana dia menyebabkan kecederaan pada anak
perempuannya, Melody Zheng, sehingga meninggal dunia.
Juri juga mendapati Li bersalah di atas pertuduhan yang sama di mana Li
membenam kepala anak lelakinya berusia empat tahun ke dalam air, sehari
sebelum Melody dibunuh.
Ketika perbicaraan, peguam Li dalam hujah pembelaannya berkata, anak
guamnya hidup dalam keadaan terkekan di mana keluarga mereka tinggal di
apartmen, terpaksa berkongsi bilik mandi dengan ramai penghuni
lain.
Peguam Mario Romano menyifatkan Li sebagai seorang ibu penyayang dan
sejak kejadian itu, Li kerap menyalahkan dirinya.
"Sebagai ibu, adalah tanggungjawab saya untuk menjaga anak-anak dan saya
sangat menyesal di atas kematian anak perempuan saya. Saya buat kesilapan.
Kehilangan anak perempuan saya itu benar-benar menyakitkan.
"Tak kiralah berapa lama kamu (mahkamah) nak sumbat saya di dalam
penjara, saya terima dengan reda," kata Li.
Sementara itu, Peguam Daerah Brooklyn, Eric Gonzalez berkata, "Defendan
mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keselamatan anak-anaknya, sebaliknya
dia menggunakan kaedah yang berbahaya untuk mendisiplinkan mereka sehingga
menyebabkan kematian.
"Tiada apa yang boleh mengembalikan semula Melody, tetapi dengan hukuman
yang dijatuhkan hari ini, sekurang-sekurangnya dapat memberi keadilan
kepada mangsa," katanya.
Difahamkan, pada 13 Mac 2016, Li membawa Melody ke bilik air untuk
mendisiplinkannya selepas mendapati mangsa terkencing, dengan membenam
kepala anaknya dalam bekas berisi air. Mangsa meronta-ronta tetapi tidak
diendahkan oleh Li yang hanya berhenti selepas Melody tidak
bergerak.
Li kemudian keluar dari bilik air tanpa memeriksa sama ada anaknya masih
hidup atau sebalik. Tidak beberapa lama selepas itu, Li menghubungi talian
kecemasan 911.
Polis datang ke lokasi kejadian dan mendapati suami Li sedang memberi
bantuan CPR kepada Melody.
Melody kemudian dikejarkan ke Hospital Maimonides dan doktor mengesahkan
mangsa telah meninggal dunia.
Bedah siasat mendapati ada kesan lebam yang menunjukkan mangsa direndam
dalam air sehingga lemas.
Ketika disoal siasat, Li mengaku telah membenam kepala anaknya dalam
besen sebelum keluar meninggalkan mangsa dalam bilik air.
Semasa kejadian itu berlaku, bapa mangsa sedang tidur.
New York Times melaporkan, dua beradik itu sebelum ini tinggal bersama
datuk dan nenek mereka di China sebelum dibawa tinggal bersama dengan ibu
bapa mereka di Brooklyn, beberapa minggu sebelum Melody
dibunuh.
Dalam kenyataan awal Li pada June 2019, Li memberitahu juri yang dia
tidak mengawasi Melody dan menafikan dakwaan dia melemaskan anak
perempuannya itu sebagai hukuman.
Sumber: Daily Mail