[Video] Wanita Maut, Anak Parah Dirempuh Hilux Yang Langgar Lampu Merah



Muar: Wanita maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Temenggong Ahmad dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, dalam kejadian pada 7.46 pagi itu, mangsa Norain Abu Samah, 41, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada anggota badan.

"Sementara, anak Norain, Nur Nabila Alisha Mohd Zalisham, 19, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan parah, manakala 14 mangsa lain tidak mengalami kecederaan.

"Siasatan awal mendapati Toyota Hilux yang dipandu Gui Chui, 69, dari arah Parit Jawa menghala ke pusat bandar Muar memandu dengan kelajuan yang tinggi.

"Dia juga tidak berhenti ketika lampu isyarat merah sebelum melanggar kereta Perodua Myvi yang baru bergerak selepas lampu hijau," katanya ketika dihubungi, hari ini.



Katanya, akibat kemalangan itu Toyota Hilux terbabas dan masuk ke laluan bertentangan serta melanggar empat lagi kenderaan lain.

"Sampel darah dan air kencing pemandu Toyota Hilux berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia untuk saringan alkohol dan dadah.

"Kes kemudiannya disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, seramai 13 anggota bomba, satu jentera LFRT, satu jentera EMRS dan dua unit RIM daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar ke lokasi kejadian selepas mendapat maklumat.

"Kemalangan membabitkan enam kenderaan iaitu Perodua Myvi, Nissan Grand Lavina, Nissan Urvan, Van Ford Spectron dan dua kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux," katanya.



Terdahulu, awal pagi tadi tular di media sosial rakaman video berdurasi 23 saat menunjukkan sebuah kereta Perodua Myvi dirempuh laju Toyota Hilux di persimpangan lampu isyarat di Muar.

Sumber : Harian metro

 


PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel

close