Polis Akan Periksa Rumah Yang Ada Banyak Selipar Dan Kasut Semasa Hari Raya
ALOR SETAR: Polis Kedah akan memeriksa rumah yang didapati
mempunyai jumlah kasut dan selipar yang banyak untuk mengesan individu yang
tidak mematuhi larangan rentas negeri pada sambutan Aidilfitri nanti.
Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya
mengerah anggotanya melakukan rondaan sepanjang sambutan perayaan itu di
seluruh negeri ini.
“Polis Kedah mendapat
arahan untuk melakukan rondaan, kita tengok rumah yang ada banyak kereta, kita
akan semak.
“Bukan sekadar kereta, kita tengok selipar, kasut di rumah
itu banyak, juga kita akan periksa,” katanya.
Belaiu berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan
Kenderaan Baharu 4WD (1tan) GS-Cargo Guna Sama Operasi untuk Kontinjen Kedah di
Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Majlis penyerahan kenderaan itu disempurnakan oleh Pengarah
Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam
(KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar sebelum ini menegaskan polis
akan mengekalkan strategi sama seperti yang dibuat semasa Aidilfitri lalu iaitu
dengan membuat pemeriksaan mengejut rumah ke rumah bagi memeriksa kebenaran
surat rentas negeri.
Mengulas lanjut, kata Hasanuddin, pihaknya turut mengarahkan
semua anggota di sekatan jalan raya (SJR) melakukan pemeriksaan lebih ketat
terutama dalam mengesan mereka yang cuba meloloskan diri untuk rentas negeri, selain
menggunakan permit palsu.
“Periksa surat dengan terperinci. Saya sudah keluarkan
arahan kepada semua anggota di SJR dan pasukan pemantauan supaya lebih tegas dalam
melakukan pemeriksaan itu.
“Jadi, saya menyeru agar semua pihak jangan sesekali bawa
dokumen palsu kerana mereka akan dikenakan denda yang tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, Mazlan pula memberitahu, sebanyak 18,279
kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melebihi had usia dan uzur di
seluruh negara akan diganti dengan kenderaan baharu secara berperingkat.
Menurutnya, jumlah kenderaan PDRM yang diganti itu adalah
daripada keseluruhan 27,307 kenderaan.
“Sekarang, kita akan ganti sebanyak 400 unit Land Rover yang
sedia ada kerana melebihi had usia. Jadi kita akan buat perolehan dan selesai
agihan Jun ini
“Selain itu, PDRM juga akan agih 240 van untuk penugasan
polis,” katanya. -UTUSAN ONLINE
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung
ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda
berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin
juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen
adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.