Berang ditegur merokok di sekolah, pelajar tikam gurunya 12 kali sampai mati
Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun berang dimarahi gurunya kerana
merokok di kawasan sekolah dalam kejadian di Manado,
Indonesia.
Suspek kemudian pulang ke rumah untuk mengambil pisau dan kembali semula
ke sekolah lalu menikam gurunya sehingga mati.
Lapor Tribun News, kejadian itu berlaku pada 21 Oktober lalu di SMK Ichthus Manado ketika
suspek dan seorang lagi pelajar yang datang lewat ke sekolah didenda untuk
menanam pokok bunga di kawasan sekolah.
Selesai menjalani denda tersebut, dua pelajar itu berehat dan merokok,
sedangkan peraturan sekolah menetapkan kawasan sekolah adalah tempat
larangan merokok.
Mereka kemudian didatangi oleh guru agama, Alexander Valentino
Werupangkey, 54, menegur perbuatan mereka dan mengarahkan salah seorang
daripada mereka pulang ke rumah.
Suspek pulang ke rumah dan mengambil pisau sebelum kembali ke sekolah
untuk membalas dendam.
Video rakaman saksi menunjukkan, mangsa yang baru mahu pulang ke rumah dengan
menunggang motosikal dihalang oleh suspek yang kemudian menikamnya
sebanyak 12 kali sehingga mangsa terjatuh.
Mangsa sempat bangkit dan meminta bantuan dari para pelajar dan guru
berhampiran. Suspek pula terus melarikan selepas menyedari kehadiran
beberapa individu di kawasan kejadian.
Mangsa dikejarkan ke hospital, malangnya sudah terlambat dan disahkan
meninggal dunia akibat kesan tikaman.
Suspek berjaya ditahan dan didakwa di bawah Akta 340 Kanun Jenayah dan
berdepan dengan hukuman penjara 20 tahun.
Sumber: Tribun News