"Adik Takut Kena Marah..", Takut Kena Marah, Bersembunyi Dalam Rekahan Konkrit
KUCHING, SARAWAK - Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun didapati
bersembunyi di bawah rekahan lantai konkrit yang dipercayai berjaya
dipujuk dan diselamatkan oleh pihak Bomba dan Penyelamat
Petrajaya.
Dalam kejadian di Sekolah Kebangsaan Semerah Padi, Samariang, petang
semalam, mangsa dikatakan bersembunyi di bawah rekahan itu kerana bimbang
dimarahi oleh ibunya, memetik kenyataan dari laman Facebook Kamek
Miak Sarawak (KMK).
Jabatan Bomba dan Penyelamat Petrajaya yang dimaklumkan mengenai kejadian
itu kemudian menghantar sepasukan anggotanya ke lokasi
kejadian.
Setibanya di lokasi, anggota bomba cuba memujuk dan mengeluarkan murid
tahun empat itu dengan mengajaknya berjalan-jalan dengan kereta
bomba.
Walaupun menghadapi sedikit kesukaran untuk mengeluarkan kanak-kanak
berkenaan berikutan saiz lubang yang agak kecil di samping bimbang ada
haiwan atau serangga berbisa di dalam lubang itu, bomba berjaya
mengeluarkan mangsa dalam operasi yang mengambil masa lebih kurang
sejam.
"Alhamdulillah, kami berjaya dalam operasi kali ini. Menitis air mata
bila membawa dan melihat wajah anak ini yang kesejukan dan keletihan,"
kata salah seorang anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra
Jaya.
Difahamkan, kanak-kanak itu selamat dan hanya mengalami kekejangan di
bahagian kaki dan telah diperiksa oleh pasukan perubatan bomba (EMRS)
sebelum dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan
rawatan.