Bayi 4 Bulan Maut Muka Tersembam Bantal Dalam Buaian
BAYAN LEPAS, PULAU PINANG - Seorang bayi lelaki meninggal dunia
dipercayai lemas selepas mukanya tersembam bantal ketika tidur dalam
buaian di kediamannya di Teluk Kumbar, hari ini, lapor Harian
Metro.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, ibunya, Melati Mohammad, 32, hanya
menyedari bayinya itu sudah meninggal dunia selepas baru pulang dari kerja
di kilang.
Menurut Melati, dia terkejut apabila melihat anaknya, Faris Dayyan
Qhumainy, berusia empat bulan tertiarap dengan mukanya tersembam
bantal.
"Anak bongsu saya itu sudah tidak sedarkan diri serta pucat. Kami
kemudian membawanya ke Hospital Balik Pulau.
"Bagaimanapun doktor mengesahkan anak saya sudah meninggal dunia,"
katanya memetik laporan dari Harian Metro, ketika ditemui di Jabatan
Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang.
Difahamkan, mangsa yang merupakan anak bongsu dari empat beradik itu
sudah boleh meniarap sejak tiga hari lalu.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Batu,
Teluk Kumbar, selepas bedah siasat dilakukan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan mengesahkan
kejadian tersebut.