Rakan saman bapa pengantin kerana menganggapnya kedekut beri 'ang pao' RM368
TAIWAN - Pemberian 'ang pao' di majlis makan malam perkahwinan adalah
budaya dalam komuniti kaum Cina dan ia perlu dilakukan dengan betul. Jika
beri terlalu sedikit, anda akan dilabel sebagai kedekut. Jika beri terlalu
banyak pula, anda dikatakan menunjuk-nunjuk.
Baru-baru ini, lapor World of Buzz, seorang lelaki Taiwan bernama Lee,
menganjurkan majlis makan malam perkahwin untuk anak lelakinya. Majlis itu
diadakan di Toayuan dan kos bagi satu meja adalah NT$20,000 (RM2,833),
lapor China Press.
Lee juga menjemput rakannya, Leow, yang dikenalinya lebih dari 30 tahun
ke majlis makan malam perkahwinan anaknya itu.
Pada hari majlis itu diadakan, Leow datang bersama anak perempuannya dan
memberi ang pao berjumlah NT$2,600 (RM368) untuk keluarga pengantin
lelaki. Bagaimanapun Lee menganggap jumlah yang diberikan itu terlalu
sedikit kerana dia mengharapkan Leow memberi lebih banyak. Sedangkan
rakannya yang lain memberi ang pao bermula dari NT$3,600 (RM510) ke
atas.
Selepas majlis itu, Lee masih tidak dapat menerima kenyataan itu dan mula
mengutuk rakan lamanya itu. Lee menyifatkan Leow kedekut kerana tidak
memberi ang pao mengikut 'harga pasaran'. Malah, Lee turut mengutuk Leow
di dalam group chat aplikasi Line dan menuduh Leow mengambil kesempatan ke
atasnya.
Tidak berapa lama kemudian, Leow mendapat tahu mengenai tindakan Lee yang
sengaja mengaibkannya itu, lalu membawa kes itu ke mahkamah dan memfailkan
saman fitnah terhadap Lee.
Dalam Mahkamah, Leow mempertahankan dirinya dengan mengatakan bahawa dia
tidak mempunyai sumber pendapatan yang lain kerana dia sudah bersara.
Dengan jumlah kewangan yang terhad di akaun bank, dia bukan saja perlu
berbelanja dengan bijak, malah berjimat cermat agar dapat melalui saki
baki hayatnya.
Mengenai isu ang pao yang dibangkitkan oleh Lee, Leow menjelaskan bahawa
dia telah melakukan yang terbaik dan amaun yang diberikan itu tidak
sepatutnya menjadi isu dan diperbesar-besarkan oleh Lee.
Lagipun, mereka telah berkawan lebih dari 30 tahun, Lee tidak sepatutnya
terlalu berkira tentang ang pao memandangkan ia hanyalah
tradisi.
Pendakwa raya menasihatkan Leow menggugurkan saman terhadap rakannya itu
bagi menyelamatkan persahabatan mereka. Tetapi Leow enggan berbuat
demikian dan mahu meneruskan tindakan saman terhadap Lee yang telah
mengaibkannya.