Berang suami tak jawab panggilan telefon, isteri gantung leher bayi dengan tali
THAILAND - Seorang ibu sepatutnya melindungi keselamatan anak mereka,
namun baru-baru ini seorang wanita berusia 28 tahun dikecam netizen
selepas videonya yang dirakam dan dimuat naik ke media sosial pada Jumaat,
11 Ogos lalu menunjukkan dia sedang mengantung leher bayinya berusia 22
bulan.
Lapor Oriental Daily, wanita itu bertindak demikian kerana marah dengan
suaminya yang tidak menjawab panggilan telefon yang dibuat beberapa
kali.
Dalam rakaman video berdurasi lebih dari satu minit itu menunjukkan
dengan jelas wanita itu berada dalam keadaan marah dan memaki hamun
suaminya. Dalam masa yang sama, dia meminta suaminya segera pulang ke
rumah dan menjaga anak mereka.
Wanita terbabit kemudian mengambil anak lelakinya dari katil dan diikat
dengan tali berwarna hitam di leher bayi malang itu dan mendesak si suami
menjawab panggilannya.
Dia kemudian mengangkat tali itu pada paras ketinggian bahunya,
menyebabkan mangsa tercekik lebih kurang 7 saat sebelum diletakkan semula
ke lantai dan membalingnya ke tilam berhampiran.
Mangsa yang tidak berdaya dan tidak faham mengapa ibunya sanggup
memperlakukannya seperti itu menjerit dan menangis. Sementara itu, wanita
itu berkata pada suaminya bahawa anak mereka masih hidup kerana dia yang
mengizinkan si kecil itu terus bernafas.
Wanita itu sekali lagi mengugut suaminya, jika dia tidak mengambil
anaknya atau menjawab panggilannya, dia akan membunuh bayi itu kerana dia
tertekan dan hampir hilang kewarasan.
Nenek mangsa yang menonton video itu kemudian meminta bantuan kerana
bimbang dengan keselamatan cucunya itu.
Lapor Bangkok Post. pihak berkuasa segera menyerbu kediaman wanita itu di
Lat Krabang, Bangkok, untuk menyelamat mangsa. Ketika ditemui, mangsa
berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang
kecederaan.
Difahamkan, mangsa telah diambil dari ibunya. Selepas wanita itu
bertenang, dalam sidang medianya wanita itu mengaku bahawa dia menyesal
dengan perbuatannya itu. Dia menjelaskan tindakannya itu dilakukan kerana
dia mengesyaki suaminya mempunyai perempuan lain dan dalam masa yang sama
dia mengalami depresi.