Bayi 10 bulan melecur 40% ditinggalkan bapanya dalam bilik mandi dengan air panas yang masih mengalir
SYDNEY, AUSTRALIA - Seorang bayi lelaki berusia 10 bulan mengalami luka
melecur tahap kedua, kira-kira 40 peratus dari badannya selepas
ditinggalkan oleh bapanya bersendirian dalam bilik mandi dengan air panas
yang sedang mengalir, lapor Daily Mail.
Lelaki berusia 24 tahun itu bagaimanapun tidak mengaku bersalah di atas
pertuduhan membahayakan, mencedera dan menyerang mangsa dalam kejadian
November 2015.
Menurut dokumen pertuduhan mahkamah, Atare Tepania, meninggalkan anaknya
berada dalam bilik mandi sementara dia keluar merokok dan memeriksa
telefon bimbitnya seketika. Selepas kembali semula ke bilik mandi dia
mendapati kulit anaknya sudah mengelupas.
Tepania kemudian mengangkat salah satu tangan mangsa dan terlepas,
menyebabkan mangsa terjatuh ke lantai. Selepas itu, mangsa diletakkan di
atas katil dan disimbah dengan air sejuk sebelum Tepania cuba memberi
mangsa minum susu formula dari botol susunya.
Bagaimanapun, lelaki itu menolak botol susu itu ke dalam mulut mangsa
dengan kuat dan berkali-kali sehingga menyebabkan mulutnya cedera dan
berdarah. Mangsa yang tidak henti-henti menangis akibat kesakitan yang
dialami.
"Tertuduh berkali-kali menolak botol susu itu ke mulut mangsa dengan kuat
sehingga mencederakan bahagian dalaman mulut mangsa. Setelah itu, dia
melihat darah keluar dari mulut mangsa," menurut dokumen mahkamah.
Berang mangsa menangis tak berhenti-henti, sekali lagi Tepania memukul
mangsa sekurang-kurangnya sekali menyebabkan mangsa cedera di bahagian
kepala dan wajahnya.
Pemeriksaan di hospital mendapati, siku mangsa juga mengalami keretakan
dan terpaksa ditahan di hospital selama 26 hari untuk menerima
rawatan.
Hasil ujian saringan mendapati, Tepania positif dadah jenis
methamphetamine dan dalam keterangannya kepada polis, dia mengaku dia
tidak waras pada ketika kejadian sehingga melakukan perkara yang tidak
sepatutnya.
"Saya tak tahu apa yang saya fikirkan. Saya tak tahu. Saya tak dapat
berfikir dengan waras," katanya.
Perbicaraan bersambung pada 6 Oktober untuk mendengar hukuman yang akan
dijatuhkan terhadap Tepania.