"Tak Sangka Baby Boleh Capai Periuk Rebusan Ketupat Tu..", Badan bayi melecur 50% terkena air rebusan ketupat
AYER KEROH, MELAKA - Seorang bayi lelaki melecur lebih 50 peratus selepas
badannya terkena air rebusan ketupat secara tidak sengaja, lapor Harian
Metro.
Dalam kejadian petang Sabtu lalu di rumahnya di Ayer Keroh, mangsa,
Muhammad Aniq Mohd Sharudin, 10 bulan, dikatakan berada dalam kerusi jalan
bayi (baby walker) sebelum mencapai periuk rebusan ketupat.
Periuk itu kemudian terbalik dan air rebusannya tertumpah pada badan
mangsa yang melecur 50 peratus.
Mangsa segera dihantar kedua ibubapanya ke Hospital Melaka untuk
mendapatkan rawatan.
Mangsa yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kini dilaporkan berada
dalam keadaan stabil, namun masih belum sedarkan diri kerana berada di
bawah pengaruh ubat.
Sementara itu di media sosial, ibu saudara mangsa meminta netizen
berhenti menyalahkan adik dan suaminya kerana kejadian yang berlaku itu
diluar jangkaan mereka.
"Ini anak kepada adik saya. Benda nak jadi, jangan salahkan ibu bapa
mangsa. Kami sekeluarga masih trauma dan menyesal setiap kali melawat Aniq
di hospital.
"Perasaan kami tidak dapat digambarkan. Siang dan malam ibu dan ayah dia
menunggu. Qada dan qadar terima dengan redha.
"Alhamdulillah anak buah dah stabil dan doakan agar dia kuat. Jadikan
sebagai iktibar dan semoga kejadian ini tidak berlaku pada keluarga anda,"
tulis Cik Wana.