Penyewa Lari Tanpa Jelaskan Bil TNB RM519.45
BANDAR PUNCAK ALAM, SELANGOR - Adab menyewa rumah orang, haruslah dijaga
dengan baik dan jangan terlambat melunaskan bayaran sewa mahupun bil
utiliti. Selain itu, penyewa perlu mematuhi kontrak yang disediakan oleh
pemilik rumah. Langgar kontrak, silap-silap boleh dikenakan tindakan
undang-undang.
Namun, malang nasib buat pemilik rumah ini apabila penyewanya melarikan
diri dengan meninggalkan sampah dan bil eletrik yang tinggi menyebabkan
dia terpaksa mengeluarkan kos untuk menanggung kerugian itu.
"Salam semua yang mahu menyewa bilik atau rumah. disebabkan mereka telah
keluar dari rumah tanpa menjelaskan bil TNB sebanyak RM519.45 dan telahpun
melanggar kontrak," tulis Selva Raj di Facebook.
Menurut Selva, penyewanya telah melarikan diri dan bila dia datang
membuat pemeriksaan rumah, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati
banyaknya sampah yang ditinggalkan penyewa berkenaan.
"Bukan nak menghina tetapi hati tengah panas. Dengan kunci rumah
dipulangkan dengan mencampakkannya semula ke dalam rumah. Bodoh sangat
agaknya bila budak tak reti nak menyewa mengikut kontrak atau dia tidak
faham maksud kontrak.
"Bila tanya baik-baik, dia halau. Saya post ini bukan mahu mengaibkan
tetapi sebab nak semua orang tahu agar semua pemilik rumah berhati-hati
dengan perempuan ini sebelum menyewakan bilik kepada wanita ini,"
tulisnya.
Difahamkan, bekas penyewa terbabit telah menyekat nombor telefon Selva
dari terus menghubunginya.
Golongan pemilik rumah yang menyewakan rumah mereka dinasihatkan sentiasa
berwaspada dan menyiasat latar belakang penyewa sebelum bersetuju
membenarkan penyewa baru menyewa rumah anda.