[Video] "Tak Padan Dengan Bersongkok Rupanya Kaki Pukau..", Gelang Emas RM13K Lesap Disamun Kaki Pukau Perut Buncit
TAIPING, PERAK - Seorang wanita mengalami kerugian ribuan ringgit selepas
gelang emasnya disamun oleh seorang lelaki yang dipercayai menggunakan
taktik pukau.
Dalam kejadian jam 9.35 pagi Selasa lalu di Bukit Kurau, gelang tangan
mangsa yang bernilai RM13,000 disamun lelaki berusia lingkungan 50-an
selepas mangsa dipukau lelaki berkenaan.
Menurut anak mangsa, Siti Nur Ain Razali, berkata, pada awalnya ibunya
disuruh membuka gelang emasnya dan dimasukkan ke dalam sampul.
"Selepas gelang disimpan dalam sampul, lelaki itu meminta ibu saya
berjalan sebanyak tujuh langkah. Dalam kesempatan itu, dia menukar sampul
yang berisi gelang emas itu dengan duit syilling.
"Bayangkan duit syilling itu ada RM1.60. Gelang yang dia ambil itu
bernilai RM13,000! Sedih tengok mak saya diperbodohkan begitu," katanya
yang juga kesal dengan tindakan suspek berperwatakan seperti ustaz, namun
sebenarnya berniat jahat.
Difahamkan, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Taiping berhubung kejadian itu.
Sementara itu di media sosial, netizen berkata itu bukan pertama kali
berlaku, malah pernah berlaku di beberapa tempat yang lain.
Kata netizen, golongan penjenayah ini menggunakan modus operandi yang
sama dengan menyasarkan mangsanya wanita berusia yang mudah diperdaya atau
dipukau.
"Ibu mertua saya pun pernah kena begini juga. Habis gelang tangan, rantai
leher dan loket disamun. Bila buka sampul, ada duit syilling saja," kata
Farah Bazla Baharuddin.
"Kes pukau seperti yang berlaku pada mak saya. Habis gelang, rantai, kad
bank semua siap minta nombor pin. Yang juga didalangi dua individu di mana
seorang berlagak menjadi ustaz, yang seorang lagi berlagak menjadi
mangsa.
"Orang itu bagi batu cincin pada mak saya. Kemudian mak saya terus
terikat. Mak kata, dia cakap pada mak yang rezeki mak akan melimpah ruah.
Guna nama Allah, letak dalam sampul. Tiga hari dia tak bagi mak saya
bercakap dengan sesiapa.
"Sekali buka sampul itu tengok ada batu kecil banyak-banyak,. Memang
sakit hati saya dengar bila mak saya ceritakan semula kejadian
itu.
"Bila buat semakan di akaun bank mak, habis semua duit diambil oleh
mereka. Dia cucuk duit di Kelantan, tetapi buat kerja pukau ini di Johor,"
kata Adex Keledex.
Justeru, orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan meminta ibu bapa
masing-masing sentiasa berjaga-jaga dan tidak memakai sebarang barang
kemas atau membawa wang tunai yang banyak ketika keluar
bersendirian.