Ibu kerat alat sulit lelaki yang merogol anak perempuan berusia 5 tahun sehingga mati, didakwa di mahkamah
Seorang wanita dihadapkan ke mahkamah di Afrika Selatan kerana didakwa
memotong alat sulit seorang lelaki yang disyaki merogol dan membunuh anak
perempuannya berusia lima tahun.
Veronique Makwena, 23, bersama dengan kakak iparnya, Noxolo Maneli dan
rakannya, Siyabonga Pakade, didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh lelaki
itu selepas menemui mayat anaknya, Chantelle, di tandas awam di Port
Elizabeth, Ogos lalu.
Peguam Fundile Matoto, yang bersetuju mewakili Veronique tanpa mengenakan
sebarang caj guaman selepas kes itu mendapat banyak tumpuan berkata,
pihaknya tidak menafikan serangan itu berlaku tetapi mahu tuduhan yang
lebih ringan dikenakan terhadapnya.
Chantelle dilaporkan hilang dari rumahnya di Port Elizabeth pada Ogos
tahun ini ketika ibunya pergi ke kedai yang agak jauh dari
rumah.
Sebaik tiba di rumah, Chantelle yang ditinggalkan bersama rakannya tidak
kelihatan.
Makwena berkata, dia menghabiskan masa sepanjang malam itu untuk mencari
anak perempuannya, tetapi gagal menemui Chantelle.
Sehari selepas kejadian, mayat Chantelle ditemui dalam tandas awam oleh
suami Makwena dan polis terus melancarkan siasatan.
Seorang suspek lelaki berusia 20-an yang dikenali keluarga mangsa disyaki
terbabit dalam kes itu dan diarahkan menjalani ujian DNA. Tetapi polis
tidak dapat menahannya selagi keputuan ujian DNA tidak
diperolehi.
Sebulan kemudian, Makwena bersama dengan kakak ipar dan seorang lagi
rakan didakwa berdepan dengan suspek dan mendakwa lelaki itu
bertanggungjawab di atas kematian Chantelle. Lelaki itu diserang dan alat
sulitnya dipotong.
Mangsa kemudian dihantar ke hospital di mana dia memberitahu pihak
berkuasa bahawa Makwena, Manela dan Pakade telah menyerangnya. Mangsa
terpaksa menjalani pembedahan untuk menyambung semula alat
sulitnya.
Susulan kejadian itu, Makwena dan dua lagi suspek ditahan reman dua
minggu sehingga pihak Enough is Enough tampil mengumpul dana bagi mengikat
jamin mereka.
"Ketika Chantelle ditemui, hati saya pilu dan terkilan. Anak perempuan
saya dah tiada. Sepanjang malam kami mencari dia, rupanya dia terbaring
kaku di lantai tandas yang sejuk. Saya masih tidak dapat menerima
kenyataan ini," kata Makwena.
Hakim menangguhkan perbicaraan dan menetapkan Februari depan untuk
sebutan semula kes berikutan siasatan masih belum lengkap.
Sumber: Daily Mail