"Kompaun Dikurangkan RM25K Pun Kami Tetap Tak Mampu Bayar, Saya Hanya Jual Burger Saja.."
Pasangan peniaga burger yang dikenakan kompaun RM50,000
kerana beroperasi melebihi had masa di tempoh PKP, mengakui banyak menerima
panggilan dari pelbagai pihak yang menawarkan bantuan kepada mereka.
Bagaimanapun, pasangan itu memilih untuk tidak menerima
sebarang bantuan dari luar buat sementara waktu kerana masih menunggu proses
rayuan yang telah dibuat di Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu hari ini yang
akan memaklumkan nilai kompaun baharu yang perlu dibayar kelak.
Norlaili Shafien, 37, isteri kepada peniaga burger itu
berkata, dia dan suaminya, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, tidak menyangka ramai
yang prihatin dengan masalah yang menimpa mereka sehingga ada pelanggan tetap
sudah menyumbang secara terus ke dalam akaun bank.
"Saya dan suami bersyukur kerana viral itu menyebabkan
ramai pihak mahu membantu kami termasuk mahu menyediakan khidmat peguam.
Bagaimanapun, saya dan suami tidak mahu mengambil sebarang bantuan kewangan
sebelum kami mengetahui jumlah kompaun yang perlu dibayar.
"Pegawai di Pejabat Kesihatan memaklumkan, rayuan kami
akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara dan jumlah kompaun yang terkini
perlu dibayar masih belum diketahui.
"Apa pun saya berterima kasih kepada semua pihak yang
terlalu prihatin dan sanggup menghubungi kami sehingga lewat malam,"
katanya.
Tambahnya, sekiranya diberikan diskaun untuk kompaun
tersebut dari RM50,000 ke RM25,000, mereka tetap tidak mampu membayarnya kerana
hasil pendapatan menjual burger tidak setanding dengan jumlah kompaun itu.
Norlaili juga mengaku mereka melakukan kesalahan berniaga
melebihi had waktu di tempoh PKP, tetapi mempunyai alasan yang kukuh untuk
berbuat demikian.
"Saya mengakui kesalahan berniaga lebih waktu, namun
saya juga mahu menjelaskan ketika kejadian tiada pelanggan dan kami juga tidak
membuka meja sepanjang PKP. Kami hanya menyiapkan pesanan untuk dihantar kepada
pelanggan sahaja," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat
memaklumkan pihaknya akan meneliti semula kadar kompaun yang dikenakan itu.
Kertas siasatan juga akan dibuka serta anggota atau pegawai yang mengenakan
kompaun tersebut akan dipanggil untuk memberi penjelasan.
"Pihak polis akan melihat dari semua aspek termasuk
kewajaran serta rungutan daripada masyarakat tentang jumlah kompaun yang
dikenakan.
"Seterusnya akan merujuk kepada Pengarah Pendakwaan
Negeri untuk nasihat dan pandangan selanjutnya," katanya.
Sumber: Harian Metro
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung
ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda
berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin
juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen
adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.