'19 hari sebelum sempat mengikrarkan janji suci itu, dia hembuskan nafas terakhir' - Tunang gadis ini meninggal dunia akibat terhidu asap rokok
"Berhenti merokok berdekatan dengan mereka yang tidak merokok! Perokok
pasif lebih berbahaya berbanding perokok itu sendiri!" demikian tulis
Dewi Sartika dengan tegas di Facebooknya 30 Disember lalu.
Dewi telah bertunang dengan lelaki pilihannya, Fajar Saputra, 24,
setelah menjalinkan hubungan selama tujuh tahun. Mereka sepatutnya
bernikah pada 6 Januari lalu, namun Fajar telah meninggal dunia pada 19
Disember lalu.
Menurut perkongsian Dewi, Fajar meninggal dunia kerana masalah
paru-parunya yang gagal berfungsi dan dipercayai ia berpunca daripada
asap rokok.
Fajar katanya telah setahun lebih bertarung nyawa menghidap masalah itu,
namun akhirnya menghembuskan nafas terakhir 19 hari sebelum tarikh
pernikahannya bersama Dewi.
"Satu tahun lebih dia berjuang dan bertahan tetapi akhirnya dia
meninggal dunia akibat asap rokok yang dihidu dari perokok. Allah
lebih sayangkan dia, Allah juga mungkin sayangkan saya dan tidak mahu
saya bersedih melihat dia sakit.
"Setiap malam dia terbangun menahan dadanya yang terasa sesak nafas. 19
Disember lalu, dia menghembuskan nafas terakhir, 19 hari sebelum dia
sempat mengikrarkan janji suci itu (hari pernikahan). Ya, 6 Januari 2018
di mana dia akan berjani di hadapan Allah dan menjabat tangan ayah saya,
mengucapkan ijabkabul itu.
"Tujuh tahun saya menunggu dan menyangka ini semua hanya mimpi buruk.
Tetapi apabila terbangun, saya terpaksa menerima kenyataan yang
menyakitkan ini," luahnya yang juga membuatkan netizen terasa sebak dan
sayu dengan kehilangannya itu.
"Kalau awak rindu, datang ke mimpi saya. Malam tadi awak tak datang
jenguk saya dalam mimpi.
"Selamat jalan kekasihku, terima kasih kerana pernah menemani saya
sehingga maut yang memisahkan kita. Terima kasih di atas ucapanmu yang
membenarkan saya sebagai wanita terakhirmu," luahnya.
Status Facebook itu telah dikongsi lebih 83,047 kali dan menerima
pelbagai reaksi dari netizen yang bersimpati dengannya.
Takziah diucapkan, semoga Dewi tabah menghadapi
ketentuanNya.
Sementara itu, golongan perokok dinasihatkan agar tidak merampas hak
insan lain yang bukan perokok untuk bernafas tanpa sebarang asap rokok.
Juga diingatkan jangan sesekali merokok di tempat-tempat awam termasuk
tangga kecemasan, tandas, premis makanan dan yang sewaktu
dengannya.
Jangan sehingga perkara seperti ini berlaku kepada keluarga sendiri,
baru nak insaf. Ketika itu, sudah terlambat.