Berang cucu ingkar arahan, nenek tiri rendam mukanya dalam minyak panas
BANDUNG, INDONESIA - Seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun
melecur teruk di bahagian muka kerana dianiaya oleh nenek tirinya dalam
kejadian 29 September lalu di kediaman mereka.
Mangsa, Rachel Heriani, 11, dikejarkan ke hospital di Bandung akibat
luka melecur yang serius di mukanya, sejurus selepas kejadian itu
berlaku.
Sebelum kejadian itu berlaku, nenek tirinya, Kosiah, 69, dikatakan telah
meminta Rachel menggoreng keropok untuk santapan keluarganya hari itu.
Namun, mangsa berkata dia mahu berehat untuk seketika kerana kepalanya
pening.
Berang dengan alasan yang diberikan, Kosiah kemudian menarik rambut dan
mengheret mangsa ke dapur lalu merendam mukanya ke dalam minyak masak yang
panas.
Bapa mangsa, Kusdian, 42, berkata, anaknya tidak mampu mengingati apa-apa
selepas kejadian itu dan hanya tersedar dirinya diletakkan di atas katil
sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
"Anak saya tidak ingat apa yang berlaku selepas itu. Sebaik saja sedar,
dia sudah berada di atas katil. Dia diberi rawatan awal selepas dibawa ke
Hospital Gunung Halu, tetapi dia hanya diberi ubat sapu sahaja dan doktor
kata dia akan pulih," katanya.
Kusdian yang tinggal berasingan dengan anaknya hanya mengetahui keadaan
mangsa itu sehari selepas kejadian. Sebaik saja mengetahui kejadian itu,
dia terus membawa mangsa ke hospital yang lain untuk mendapatkan rawatan
yang lebih baik sebelum membuat laporan polis terhadap nenek tiri anaknya,
Kosiah.
"Anak saya seorang pendiam. Jiran-jiran mereka berkata, dia selalu
dipukul dan jarang pergi ke sekolah kerana nenek tirinya kerap memaksa dia
membantunya.
"Bahagian mata kiri, dahi, hidung dan pipinya melecur teruk. Saya sedih
melihat keadaan Rachel yang menangis setiap kali jururawat membersihkan
luka di mukanya," katanya.
Bagaimanapun, Kosiah pula menegaskan kejadian yang berlaku itu adalah
kemalangan yang tidak disengajakan di mana ketika dia sedang menggoreng
keropok di dapur pada hari kejadian sebelum mangsa datang ke
dapur.
"Dia beritahu saya, dia mahu menggoreng keropok itu, jadi saya serahkan
kepada dia dan sementara itu saya sediakan makanan yang lain.
"Selepas menggoreng 11 ketul keropok, dia (mangsa) mengadu pening kepala
dan saya suruh dia berehat. Bila saya kembali semula ke dapur, dia sudah
terjatuh ke lantai," katanya.
Kosiah berkata, dia juga menemui tumpahan minyak yang tumpah dari kuali
di sekitar kepala mangsa.
Sementara itu, polis pihak berkuasa sedang menyiasat kes tersebut bagi
mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Mangsa dilaporkan akan menjalani pembedahan pada mukanya selama yang
mengambil masa selama dua hari.