Berang disindir menganggur, suami tukul kepala isteri sampai mati
Berang selalu diperli dan didesak menceraikan isteri, seorang lelaki
hilang kesabaran lalu memukul kepala isterinya dengan tukul besi beberapa
kali sehingga hilang nyawa.
Suspek, Saadi Muksin, 47, yang tidak bekerja ditahan pihak polis kerana
disyaki membunuh isterinya, Lely Lismayati, 39, di rumah mereka di Bekasi
Utara, dalam kejadian Khamis lalu.
Menurut Timbalan Ketua Polis Metro Bekasi Kota Wijdonaro berkata,
pasangan berkenaan selalu bertengkar kerana Saadi malas mencari kerja dan
suspek juga mendakwa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain
selepas wanita itu kerap mendesak dia menceraikannya.
Difahamkan, pasangan berkenaan telah berkahwin selama 17 tahun dan
mempunyai dua cahaya mata. Malangnya dalam tempoh itu, Saadi tidak pernah
bekerja menyebabkan Lely terpaksa bekerja di sebuah kilang tayar untuk
menyara kehidupan keluarganya.
"Suspek tersinggung kerana mangsa sering menyindirnya yang tidak
mempunyai pekerjaan.
"Kebelakangan ini, pasangan berkenaan dilaporkan semakin kerap
bertengkar. Namun kali ini suspek hilang kesabaran selepas mangsa meminta
wang dan menariknya menyebabkan mereka terjatuh.
"Berang dengan tindakan mangsa, suspek terus mengambil tukul besi di
lantai dan memukul kepala mangsa beberapa kali sehingga mati.
"Jiran yang mendengar jeritan mangsa meminta pertolongan segera
menghubungi pihak polis. Malangnya mangsa telah mati dalam keadaan
berlumuran darah ketika polis tiba di lokasi kejadian,"
katanya.
Suspek terus melarikan diri selepas kejadian itu. Beberapa jam selepas
itu, suspek tampil ke balai polis untuk menyerah diri.
Dalam satu sidang media di ibu pejabat polis Bekasi kelmarin, Saadi
mengaku dia menyesal dengan perbuatannya selain terkenang nasib dua
anaknya yang masih bersekolah.
"Menyesal pak. Saya khilaf, emosi. Saya terfikir mengenai nasib dua anak
saya," katanya.
Suspek akan didakwa mengikut akta keganasan dalam rumah tangga dan jika
sabit kesalahan boleh dipenjara selama 15 tahun.
Sumber: Harian Metro, Merdeka.com, Tempo.co