"Kita Dah Cadang Dato Ayob Naik Pangkat..", Dato Ayob Dicadangkan Ambil Alih Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan jenayah (JSJ)
Nama Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sememangnya meniti di bibir masyarakat sejak dilantik sebagai Ketua Polis Johor, tahun lalu.
Ketegasan Ayob Khan dalam
membanteras jenayah dan kejujuran melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan
telah membuatkan orang ramai memandang tinggi usaha yang dilakukannya.
Maka, tidak hairan apabila nama
Ayob Khan disebut-sebut masyarakat bakal menggalas jawatan sebagai Ketua Polis
Negara satu hari nanti.
Namun begitu, buat masa ini,
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan nama Ayob Khan telah
dicadangkan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang
baharu.
Pada masa sama, Abdul Hamid
ketika ditanya mengenai pengganti Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai
Timbalan Ketua Polis Negara mendedahkan nama tiga pengarah paling kanan yang
sesuai mengisi jawatan tersebut.
Ketiga-tiga nama berkenaan, kata
Abdul Hamid adalah Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS),
Datuk Zamri Yahya; Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din dan
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin
Husain.
“Mereka yang paling senior dan
salah seorang akan dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Negara. Terpulang
kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana kebiasaannya ia
ditentukan Perdana Menteri.
“Saya tahu ada yang mahu Ayob
Khan dinaikkan pangkat tetapi kalau tak silap beliau akan mengambil alih JSJ.
“Itu yang kami cadangkan supaya
beliau dapat meneruskan usahanya membendung jenayah di negara ini. Beliau
memang contoh yang baik selama ini.
“Semua orang menyokongnya.
Lagi-lagi cara beliau tebar roti canai,” seloroh Abdul Hamid dalam sidang
akhbar terakhirnya sebagai Ketua Polis Negara hari ini.
Ketika ditanya mengenai sekiranya
ada sesalan sepanjang beliau dilantik menjadi Ketua Polis Negara, Abdul Hamid
menjelaskan tiada sesalan cuma kebimbangannya mengenai campur tangan politik
dalam tugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagaimanapun, beliau memohon maaf
kerana tidak sempat ke Sabah dan Sarawak untuk menyelesaikan banyak isu di
kedua-dua negeri terbabit ekoran penularan COVID-19.
“Saya tahu di Sarawak terdapat
banyak isu integriti. Bukan saya terlepas pandang. Saya ada berjumpa dengan
menteri-menteri Sarawak dan menyatakan pengakuan saya kepada mereka.
“Saya faham, tahu dan sedar
sesuatu yang drastik perlu dilakukan di Sarawak. Insya-Allah, Acryl Sani akan
lakukan selepas ini. Sesuatu yang tidak betul berlaku di sana.
“Banyak sangat tuduhan yang tular
berhubung kes penyeludupan, judi dalam talian dan maksiat yang begitu hebat.
Saya harap selepas ini pucuk pimpinan akan beri perhatian. Bukan saya ‘anak
tirikan’ Sabah dan Sarawak. Saya tak dapat pergi kerana COVID-19,” jelas
beliau.
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan
bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu dan memikirkan implikasinya
sebelum menulis komen anda disini
mahupun di media sosial yang berkaitan dengan artikel ini. Pihak admin juga
tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini mahupun dimedia
sosial. Ditegaskan, Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.