"Ya Allah, 5 Jam Baru Perasan Anak Terkunci Dalam Kereta..', Budak 3 Tahun Maut Selepas Tertinggal Dalam Kereta Selama 5 jam
Seorang kanak-kanak perempuan
berusia tiga tahun ditemukan meninggal dunia setelah ditinggalkan beberapa jam
di dalam kereta oleh neneknya di Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam,
Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima satu laporan
daripada pihak Hospital Sultan Ismail (HSI) mengenai kes 'Brought In Death'
membabitkan kematian seorang kanak-kanak berumur 3 tahun pada 6.41 petang.
Beliau berkata, hasil siasatan
mendapati pada hari sama, nenek mangsa berusia 59 tahun membawa mangsa bersama
kakaknya ke sekolah di sekitar Sungai Tiram lebih kurang 1 tengah hari dengan
menaiki kenderaan Perodua Alza.
Menurutnya, mangsa kemudian
ditinggalkan di dalam kereta di rumahnya di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram
tanpa disedari nenek mangsa dan enjin kereta turut dimatikan.
"Pada 6 petang, ibu mangsa
menyedari mangsa tiada di dalam rumah dan telah mencari di sekitar kawasan rumah
namun tidak menjumpai.
"Nenek mangsa kemudiannya
mula menyedari mangsa berada di dalam kereta dan mendapati mangsa tidak
sedarkan diri di lantai bawah tempat duduk belakang.
"Hasil bedah siasat doktor
di HSI pada Isnin mendapati keadaan tubuh badan mangsa adalah sihat dan tiada
sebarang kesan lebam atau luka akibat didera," katanya dalam satu
kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, doktor
mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan 'Heat Stroke Due To
Vehicular Entrapment' iaitu strok haba akibat terperangkap di dalam kenderaan.
Menurutnya, kes disiasat menurut
Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh
dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau dengan denda tidak
melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.
Sumber: Bernama
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan
bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu dan memikirkan implikasinya
sebelum menulis komen anda disini
mahupun di media sosial yang berkaitan dengan artikel ini. Pihak admin juga
tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini mahupun dimedia
sosial. Ditegaskan, Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.