Isteri Tak Pandai Bersolek Dibelasah Suami
Polis menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang jahit kerana
didakwa membelasah isterinya hanya disebabkan mangsa tidak pandai bersolek.
Dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu 19 Januari 2019 di Pekalongan,
Indonesia, suspek, Akhmad Khumaidi, 31, membelasah isteri berusia 23 tahun
sehingga menyebabkan wajah mangsa lebam teruk.
Difahamkan sebelum kejadian itu, pasangan terbabit menghadiri sebuah majlis.
Namun selepas pulang ke rumah, suspek memarahi isterinya kerana tidak pandai
bersolek dan mendakwa mangsa sengaja memalukannya.
Tidak cukup dengan itu, suspek turut bertindak menusuk kunci motosikal pada
lutut isterinya berulang kali, malah memukul mukanya dengan topi keledar
sehingga menyebabkan hidungnya berdarah. Kening mangsa turut ditendang oleh
suspek.
Akibatnya, mangsa mengalami kesan lebam di bahagian kening dan kedua-dua
matanya, selain kuka di hidung dan kaki akibat ditusuk dengan kunci
motosikal.
Mangsa kemudian keluar dari rumah dan tinggal di rumah saudaranya yang tidak
jauh dari kediaman mereka.
Selang sehari kemudian, suspek datang memujuk mangsa untuk pulang ke rumah,
tetapi isterinya enggan berbuat demikian lalu suspek mengugut mahu
membunuhnya. Bimbang dengan keselamatan diri, mangsa membuat laporan
polis.
Bertindak di atas laporan itu, suspek telah ditangkap pada Selasa dan
mengaku melakukan perbuatan itu kerana kecewa serta malu dengan isterinya
yang tidak bersolek.
Suspek telah didakwa melakukan keganasan rumah tangga. Jika disabit
kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau dengan sehingga
15 juta rupiah (RM4,400).
Sumber: Sinar Harian, DetikNews