Kakak biarkan dirinya terbakar untuk selamatkan adiknya
Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun mengorbankan dirinya untuk
menyelamatkan adik lelakinya dalam kebakaran yang berlaku di Hunan, China,
pada 22 Februari lalu.
Lapor portal berita Shi Xun Wan, kebakaran itu berlaku pada jam 3 pagi
ketika keluarga itu sedang tidur.
Si bapa terbangun dari tidur selepas terdengar anak-anaknya menangis
meminta tolong, lalu segera pergi memeriksa keadaan mereka.
"Ketika saya membuka pintu, api sudah marak. Tangga sudah terbakar,
laluan untuk keluar di tingkat dua juga penuh dengan asap dan sangat
panas.
"Jadi saya segera menyuruh isteri saya pergi ke tingkap menjerit meminta
tolong," kata si bapa.
Dalam masa yang sama, si bapa menyedari suara anaknya semakin tidak
kedengaran, lalu berlari ke bilik untuk menyelamatkan dua beradik
itu.
"Bilik itu sangat panas dan penuh dengan asap. Apabila saya berjalan ke
katil, anak lelaki saya dibungkus dengan selimut sambil dipeluk oleh
kakaknya. Kedua-dua mereka sudah tidak sedarkan diri,"
katanya.
Dia kemudian segera mengambil anaknya dan berlari keluar dari bilik
sebelum mendapatkan isterinya. Mereka terpaksa menunggu dan bertahan di
tingkap sementara menunggu pihak bomba datang menyelamatkan
mereka.
Dua beradik itu kemudian dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan
kecemasan.
Mangsa yang berusia lima tahun tidak mengalami kecederaan yang serius
kerana dilindungi oleh selimut yang dipakaikan oleh kakaknya. Malangnya,
kanak-kanak perempuan itu melecur tahap ketiga dengan 55 peratus kulitnya
terbakar.
Related:
Keadaannya yang kritikal itu menyebabkan dia terpaksa menjalani 30 kali
pembedahan untuk menyelamatkan nyawanya.
Namun, mangsa disahkan meninggal dunia pada 27 Februari. Manakala adiknya
berada dalam keadaan stabil.
Sumber: World of Buzz