Tercabut 2 batang gigi depan akibat disepak suami
JAWA TIMUR, INDONESIA - Tidak tahan dan meluat mendengar bebelan, seorang
lelaki tergamak menyepak muka isterinya sehingga dua batang gigi depan
wanita itu tercabut keluar dari gusi.
Kejadian itu berlaku pada jam 2 pagi, 29 Ogos lalu di kediaman pasangan
berkenaan,
Difahamkan, lelaki itu keluar sekitar jam 9 malam. Isterinya, Nem, cuba
menghubungi lelaki itu tetapi mesejnya tidak dibalas, malah panggilannya
tidak dijawab.
Lelaki terbabit dikatakan keluar tanpa memaklumkan kepada isteri ke mana
halatujunya. Sebaik saja pulang ke rumah, Nem mula menyoal lelaki itu
dengan pelbagai soalan.
Nem bertanya ke mana lelaki itu pergi, apa yang dia lakukan, dengan siapa
dia keluar, kenapa dia tidak menjawab panggilan telefon atau membalas
mesejnya bagai.
Tidak tahan dengan bebelan isterinya, lelaki itu memukul isterinya
sehingga terjatuh sebelum menyepak muka mangsa tanpa belas
kasihan.
Sepakan yang kuat itu menyebabkan dua batang gigi mangsa tercabut keluar
dari gusi.
Selepas terdengar pergaduhan pasangan itu, jiran mereka menghubungi pihak
berkuasa untuk meminta bantuan yang tiba di tempat kejadian tidak berapa
lama kemudian dan lelaki itu kemudian ditahan untuk dibawa ke
balai.
Suspek mengaku hilang kesabaran dan telah memukul mangsa. Suspek berkata,
dia juga kesal kerana isterinya lebih memberi perhatian pada telefon
bimbit berbanding dirinya.
Sementara itu, Nem meminta maaf kerana tidak menjadi isteri yang baik
kepada suaminya.
"Saya marah pada suami kerana dia balik lewat ke rumah, tetapi saya pula
yang kena marah. Saya hanya menggunakan telefon bimbit saya untuk melayari
laman Facebook dan YouTube sahaja. Tiada untuk tujuan yang
lain.
"Saya juga memohon maaf pada suami. Mungkin saya belum mampu lagi menjadi
seorang isteri yang baik untuk dia," katanya kepada media
tempatan.